
'DIA ini memang gila! Ustaz paling gila saya pernah jumpa'
Itu reaksi jujur rakan karib pendakwah terkenal dan Pengasas Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Mohammad Yaakub Yusra atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yaakub Yusra dalam perkongsian panjang di Facebook miliknya, Kokom Bee yang kini tular di media sosial.
Bagi Kokom Bee, ‘gila’ yang dimaksudkan bukanlah ketidaktentuan arah tetapi gila kerana kekuatan tenaga, keteguhan semangat dan kesungguhan luar biasa Yaakub Yusra dalam memastikan MADAD terus berkembang walaupun berdepan rintangan besar.
BACA LAGI: Jaga kemuliaan jenazah semasa kubur jenazah digali semula — Pakar agama
Dia menceritakan bahawa dirinya menjadi saksi sejak awal penubuhan MADAD, ketika ia hanya terdiri daripada beberapa pondok kayu hingga kini mampu berdiri megah sebagai kompleks Islam yang menjadi pusat dakwah, pendidikan, dan kemudahan awam.
Menurut Kokom Bee, antara kisah yang paling meninggalkan kesan ialah ketika Yaakub Yusra mengajaknya menemani perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan semata-mata untuk bertemu seorang usahawan.
"Kom, jom teman ana jumpa (someone)”. Masa tu saya tak tahu untuk apa. Saya tak tahu pun apa kesusahan dia dan untuk apa dia sangguh turun ke KL dan bergerak ke Negeri Sembilan. Rupanya dia nak jumpa seorang usahawan untuk jual tanah dia sendiri semata-mata nak buat MADAD yang masa tu bangunanya hanya sebesar dewan pengantin.
"Tak ada sebab pun dia kena jual tanah dia untuk bina kompleks pendidikan Islam ataupun masjid. Tapi dia nak jugak buat. Dia kata orang yang nak jual tanah tu dah bagi tempoh sampai sekian-sekian atau dia kena letgo tanah tu," katanya.
Walaupun rundingan ketika itu tidak menampakkan hasil, Yaakub Yusra tetap meneruskan perjalanan pulang ke bandar untuk menyampaikan khutbah Jumaat, walaupun hanya tidur dua jam malam sebelumnya.
MADAD ditubuhkan pada Januari 2018 di Kampung Teluk Sungai Petani Kedah pada awalnya dikenali sebagai Pusat Dakwah Darul Murtadha.
Kokom Bee menjelaskan, Yaakub Yusra tidak hanya bergantung pada sumbangan awam untuk membina MADAD berikutan nilai projek yang mencecah jutaan ringgit memaksanya mencari sumber lain, termasuk berdagang saham, melabur dalam kripto, menjual eBook dan mengusahakan pelbagai produk.
“Dia trade saham, trade kripto, jual eBook… saya sendiri nampak berapa dia dapat dalam saham sebab kami berdua belajar terus dari Datuk Haji Mohd Asri. Disebabkan nampak keikhlasan dia, Datuk Haji Mohd Asri pula sponsor sebahagian duit pembinaan MADAD.
"Itu tak cerita lagi orang yang attack dia dan report dia kat SPRM atas tuduhan pecah amanah. Tuduhan pun gagal, sebab memang tidak terbukti Ustaz tak buat, last sekali orang yang tuduh dia yang kena. Tapi dia ini jenis malas nak burukkan orang kat media sosial," tambahnya.
Namun, tidak semua usaha membuahkan hasil apabilia pendakwah bebas dan penceramah motivasi berkenaan ditipu dalam urusan jualan produk susulan barang niaga itu terjual tetapi duit tidak diterima.
Walaupun berdepan kerugian, Yaakub Yusra tidak berputus asa kerana sedar ramai kakitangan MADAD yang perlu ditanggung, selain pelbagai program percuma seperti penyediaan makan minum, bantuan poket pelajar dan program subuh berjemaah.
Selain itu, Kokom Bee turut mendedahkan sifat berhati-hati rakannya itu agar tidak dilihat mengambil kesempatan.
"Punya dia risau orang fikir dia amik kesempatan, dia buat karnival pulak dan tak amik duit untuk tapak. Kos dah berpuluh ribu. So dia kena cari another usahawan untuk sponsor tapak nak bagi orang kedah dan peniaga kecil berniaga kat karnival dia.
"Dia kata dia hanya harapkan small cut sahaja daripada keuntungan peniaga tu. Itupun dia tak paksa peniaga bagi penyata, kalau mereka jujur ustaz dapat la cover program tu. Kalau orang tipu dia yang terpaksa tanggung kos kerugian program tu.
"Semua ni untuk apa, untuk pastikan MADAD terus hidup. Ingat ya tuan-tuan, di bawah MADAD ada beratus staf dia kena tanggung. Semua ada anak bini nak tanggung. Ramai orang fikir duit bina sahaja, duit nak bagi jalan tempat tu tak fikir. Duit kakitangan mereka tak fikir," jelasnya.
Kini, Kokom Bee memberitahu bahawa Yaakub Yusra berdepan cabaran baharu apabila perniagaan yang dijalankan untuk menyokong MADAD tidak lagi serancak seperti dulu, tetapi semangatnya tidak luntur.
Beliau sanggup berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur setiap minggu dengan kadangkala balik hari, kadangkala hanya tidur dua hingga tiga jam, semuanya semata-mata untuk mempromosikan dan mencari dana demi kelangsungan MADAD.
"Dia manusia biasa yang mungkin ada silap. Tapi itu bukan lesen untuk kita bunuh karakter dia. Lepas jatuhkan dia, siapa nak tanggung team MADAD? Siapa nak ambil alih perjuangan dia?" soalnya.
Perkongsian Kokom Bee itu dibuat susulan tularnya satu hantaran oleh pengguna Facebook, Naga Slayer yang mempersoalkan isu geran tanah masjid MADAD serta wajar atau tidak mengutip derma awam sambil menguruskan syarikat kontraktor sendiri.
Untuk rekod, Naga Slayer dikatakan aktif di media sosial dalam membongkar isu scammer dan kepincangan sesebuah organisasi salah laku melalui pembongkarannya secara terbuka.
Walau bagaimanapun, Yaakub Yusra tampil memuat naik kenyataan balas beliau mengenai isu soal geran tanah MADAD yang diusahakan untuk tatapan umum di Facebook. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram