Tahanan penjara di rumah: Keputusan Mahkamah Persekutuan ditetapkan 13 Ogos


  • Kes
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Mahkamah Persekutuan menetapkan 13 Ogos sebagai tarikh keputusan berhubung rayuan AG dalam permohonan Najib untuk menjalani hukuman penjara di rumah.

MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 13 Ogos sebagai tarikh keputusan rayuan pihak pendakwaan berhubung permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Perkara itu disahkan oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, ketika dihubungi media.

Keputusan itu akan disampaikan oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Mohd Hasnah Mohammed Hashim, bersama dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Muhammad Farhan Shafee, representing former Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak, attended the trial of his client case involving SRC International Sdn Bhd (SRC International) funds at Jalan Duta High Court in Kuala Lumpur, today. - MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star.

Muhammad Farhan Muhammad Shafee

Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan majoriti 2-1 oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu, yang telah memutuskan supaya kes Najib dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit.

Keputusan tersebut membatalkan perintah Mahkamah Tinggi sebelum itu yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkaitan dokumen tambahan tersebut.

Terdahulu, pada 28 April lepas, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan yang didakwa berkaitan dengan Najib.

Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan dan permohonan semakan kehakimannya sebelum ini.

Pada Februari 2023, Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. — The Star/ NURBAITI HAMDAN 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram