Ibu Zayn Rayyan selesai bela diri, keputusan mahkamah 31 Oktober


  • Kes
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Keputusan pertuduhan ke atas Ismanira akan diketahui pada 31 Oktober depan.

SELEPAS lima saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pembelaan Ismanir Abdul Manaf, iaitu ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matin dalam pertuduhan mengabaikan anaknya menutup kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr Syaliza Warnoh selama enam hari sejak 21 Julai lalu itu berakhir dengan saksi pendakwaan terakhir, Azura Mohd Nawawi memberi keterangan.

Mahkamah menetapkan 8 September untuk hujahan bertulis kedua-dua pihak manakala tarikh 22 September 2025 ditetapkan bagi hujahan balas.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis rakam keterangan Ismanira susulan video tular pimpin tangan Zayn Rayyan di media sosial

BACA LAGI: Kes Zayn Rayyan: Bapa bebas, ibu diperintah bela diri

Kes kematian Zayn Rayyan terus mendapat liputan media tempatan sehingga hari ini.

Justeru, keputusan sama ada wanita tersebut disabitkan atau tidak atas pertuduhan terbabit akan diputuskan pada 31 Oktober ini.

Peguam mewakili Ismanira, Haresh Mahadevan berkata, pihaknya menutup kes pembelaan Ismanira selepas saksi pembelaan terakhir, Dr Noor Aishah Rosli, 49, memberikan keterangan.

"Pihak pembelaan tiada saksi lain dan kami menutup kes ini," katanya.

Selain Haresh, tertuduh turut diwakili peguam, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh Mahadevan manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.

Sementara itu, selain Ismanira dan Dr Noor Aishah, saksi pembelaan lain yang turut dipanggil memberi keterangan ialah bapa mentuanya, Zahari Mohd Reba, rakan Ismanira iaitu Umi Syafiqah Rohizal dan ibu saudara tertuduh.

(center) Mother of Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf at the court case on

Ismanira dituduh atas kesalahan mengabaikan anaknya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Semua saksi pembelaan itu juga selesai pada peringkat pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di Petaling Jaya antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Justeru, Ismanira didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ismanira diperintah membela diri manakala Zaim Ikhwan dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram