
KEADAAN di Empangan Bukit Merah, Bagan Serai, Perak kini berada pada tahap kritikal apabila paras airnya dilaporkan telah mencecah Aras Henti Bekalan Pengairan iaitu pada ketinggian 20.00 kaki.
Situasi itu sudah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan petani yang bergantung kepada sumber air dari empangan berkenaan, lebih-lebih lagi selepas tersebarnya video terkini yang menunjukkan keadaan empangan yang semakin membimbangkan.
Menurut prosedur operasi standard (SOP) pengendalian empangan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian, apabila paras air mencapai tahap itu, bekalan air ke kawasan sawah padi akan dihentikan buat sementara waktu.
BACA LAGI: [VIDEO] Blok wad kecemasan HTAR terbakar, pesakit dan petugas cemas selamatkan diri
JPS Daerah Kerian menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa, langkah berkenaan diambil bagi mengutamakan bekalan air mentah untuk keperluan harian dan kegunaan asas penduduk setempat.
"Empangan Bukit Merah telah mencecah Aras Henti Bekalan Pengairan pada 20.00 kaki. Mengikut SOP pengendalian empangan, bekalan air ke sawah padi akan dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada bekalan air mentah," kata JPS Daerah Kerian.
Empangan Bukit Merah merupakan salah satu sumber utama pengairan bagi ribuan hektar sawah padi di kawasan Kerian, Perak.
Sehubungan dengan itu, pihak JPS turut menyeru seluruh masyarakat untuk sama-sama berdoa dan bermunajat kepada ALLAH SWT agar diturunkan hujan yang bermanfaat demi kelangsungan bekalan air dan kesejahteraan semua pihak yang bergantung kepada empangan itu.
Empangan yang kini hanya menyimpan 6.947 juta meter padu air berada pada tahap kritikal dengan kadar aliran masuk (inflow) sekitar 5.250 meter padu sesaat.
Jumlah berkenaan dilihat tidak mencukupi untuk menampung keperluan bekalan pengairan bagi kawasan jelapang padi utama di daerah tersebut.
Ketika ini, aliran ke Terusan Selinsing dan Terusan Besar masing-masing dicatatkan pada kadar 2.832 dan 2.265 meter padu sesaat.
Berdasarkan SOP Bekalan Pengairan, paras normal empangan ialah 8.69 meter, manakala paras berjaga-jaga bermula pada 7.62 meter. Paras terkini empangan kini jauh di bawah Aras Kritikal Tahap 3 iaitu 6.40 meter.
Pada Isnin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembenihan awan bagi menangani masalah penyusutan paras air di Empangan Bukit Merah di Bagan Serai masih belum boleh dilaksanakan ketika ini.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kajian oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang melibatkan faktor teknikal seperti arah angin dan keadaan cuaca semasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram