
PERDEBATAN mengenai Program Data Telefon Bimbit kelolaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Soal privasi, keselamatan siber dan peranan kerajaan dalam mengurus data awam menjadi topik yang cukup hangat diperkatakan, hingga menyebabkan ada yang khuatir mengenai pencerobohan data terbabit.
Demi memisahkan fakta sahih daripada spekulasi tak berasas, Pengerusi Majlis IPv6 APAC dan pakar keselamatan siber, Prof Emeritus Dr Sureswaran Ramadass tampil mempertahan inisiatif tersebut.
BACA LAGI: Pendidikan Tinggi ASEAN menuju kerjasama dekad baharu, fokus terus perkukuh komitmen serantau
Beliau menjelaskan data yang dikumpul adalah agregat dan dianonimkan dan tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh mengenal pasti individu.
Tegasnya, data itu hanya merangkumi metadata bukan peribadi seperti kekuatan isyarat, corak penggunaan rangkaian dan kod lokasi serta maklumat teknikal lain bersifat umum.
"Ia bukan data maklumat peribadi pengguna. Program ini adalah penggunaan data secara bertanggungjawab untuk menambah baik liputan rangkaian, menangani isu jurang digital dan mempercepatkan tindak balas semasa kecemasan,” katanya.
Sureswaran berpendapat data yang dikumpul kerajaan sangat berguna bagi tujuan peruntukan sumber, perancangan spektrum dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
Menurutnya, dengan menyamakan program tersebut dengan aktiviti pengintipan atau pencerobohan privasi adalah tidak tepat dari sudut teknikal.
"Program ini tidak mengutip nama, nombor telefon, log panggilan, sejarah pelayaran internet atau kandungan mesej.
"Tambahan pula, akses kepada metadata ini terhad kepada perisian analitik tertentu di dalam MCMC sahaja tanpa sebarang pendedahan kepada pihak komersial atau ketiga.
"Ini sekali gus menjadikan data tersebut jauh lebih selamat berbanding data yang lazimnya terdedah kepada risiko penyalahgunaan dalam ekosistem teknologi komersial," jelasnya.
Sokongan turut disuarakan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber, Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Selvakumar Manickam.
Beliau mempersoalkan mengapa orang ramai mahu melepaskan kemarahan terhadap pengumpulan data oleh kerajaan sedangkan eksploitasi data oleh syarikat teknologi asing tidak dipersoalkan.
“Setakat 1 Januari 2025, Malaysia mencatatkan lebih 25 juta pengguna media sosial.
"Ramai dalam kalangan mereka berkongsi maklumat peribadi secara sukarela — daripada lokasi 'real time' hingga rutin harian — jauh melebihi data yang dikumpul oleh inisiatif MCMC," katanya.
Selvakumar berkata, penggunaan data secara bertanggungjawab adalah penting untuk melindungi rakyat daripada penipuan dalam talian, jenayah siber dan buli siber yang semakin meningkat.
Beliau membuat perbandingan batasan undang-undang yang jelas dalam program MCMC yang bertujuan untuk keselamatan awam dengan amalan pengumpulan data oleh syarikat seperti Meta, Google, Apple dan ByteDance.
“Platform ini membina empayar bernilai berbilion dolar melalui profil pengguna, sering tanpa persetujuan yang jelas.”
Prof. Sureswaran turut menjelaskan bahawa Program Data Telefon Bimbit beroperasi di bawah kerangka Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Sistem ini tertutup, selamat dan telus, tidak seperti sistem komersial yang memanfaatkan data pengguna untuk keuntungan," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, kedua-dua pakar digital tersebut menegaskan bahawa metadata yang dikumpul boleh digunakan untuk perancangan nasional dan keselamatan siber.
Data masa nyata tersebut dapat membantu dalam pelaksanaan infrastruktur digital, perancangan rangkaian 5G dan meningkatkan tindak balas kecemasan.
Bagi, Prof Sureswaran, beliau berpendapat data itu sangat berguna bagi tujuan peruntukan sumber, perancangan spektrum dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.
"Sebagai contoh, dalam situasi bencana alam atau krisis kesihatan awam, data sedemikian boleh membantu pihak berkuasa bertindak lebih cepat dan menyasarkan bantuan kepada kawasan yang memerlukan," tegasnya.
"Penggunaan data secara bertanggungjawab adalah penting untuk melindungi rakyat daripada penipuan dalam talian, jenayah siber dan buli siber yang semakin meningkat," kata Prof Selvakumar pula.
Beliau turut menyeru agensi seperti MCMC untuk memastikan data disimpan dan diuruskan mengikut piawaian keselamatan antarabangsa yang ketat.
“Kita tidak harus keliru antara tadbir urus yang bertanggungjawab dengan pencerobohan, atau perancangan proaktif dengan pemantauan,” katanya.
Katanya, Program Data Telefon Bimbit adalah program nasional yang direka untuk manfaat awam tidak wajar diadili secara berat sebelah berbanding syarikat teknologi besar yang mengaut keuntungan melalui data harian.
“Daripada berdebat tentang dakwaan yang tidak dibuktikan, rakyat Malaysia seharusnya menyokong usaha kerajaan dalam membina persekitaran digital yang lebih selamat dan mudah untuk semua," ujarnya. — Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram