Pengasas eHati ditahan polis selepas beri kenyataan


  • Massa
  • Selasa, 15 Jul 2025

Aktiviti dianjurkan dalam program di bawah eHati dikatakan bagi membantu wanita yang terkesan dalam rumahtangga.

PENGASAS bersama Ehati International Sdn Bhd (eHati), Diana Tahir dan Rahim Shukor tampil menepis dakwaan berhubung prorgam dianjurkan syarikat milik mereka itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan pada Selasa, pasangan tersebut menegaskan program diadakan adalah untuk membantu wanita mencari kebahagiaan, ketenangan dan menyembuhkan diri menerusi pendekatan Neuro-Linguistic Programming (NLP).

Mereka menjelaskan modul tersebut diperkenalkan bagi membantu peserta melalui teknik pengurusan emosi yang efektif selepas menghadapi cabaran dalam rumahtangga, termasuk kekeliruan tubuh sendiri dan emosi.

BACA LAGI: Kontroversi eHati: Dua saksi hadir esok — Dr Na'im

BACA LAGI: JAIS ambil keterangan 2 saksi program motivasi eHati

Berhubung dakwaan melibatkan unsur urutan berasaskan tantra, mereka menjelaskan bahawa kaedah sebenar diadaptasi daripada gabungan urutan pelvic floor dan urutan Thai.

“Kaedah ini diolah agar bersesuaian dengan nilai tempatan dan tidak melibatkan sebarang ritual agama lain. Ia juga merupakan modul pilihan dan peserta tidak diwajibkan untuk mengikutinya,” tulisnya.

Sebelum ini, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan seorang pengguna media sosial mengenai program yang dikendalikan pasangan berkenaan.

Dalam hantaran di laman Facebook milik individu tersebut, turut didakwa bahawa dua wanita melakukan tarian bogel dalam satu program yang berlangsung di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor.

Peserta program juga didakwa diberi sejenis minuman yang tidak diketahui kandungannya sehingga mampu mengubah mood dalam tempoh singkat.

Peserta program tersebut diarahkan melakukan beberapa aktiviti yang menyerupai ritual keagamaan.

Selain itu, pengguna terbabit turut mendakwa peserta diarahkan menjalani upacara mandi suci dan lahir semula yang dikatakan menyerupai ritual keagamaan lain.

Terdahulu, individu sama turut mendakwa wujud penganjuran program eHati di Bali, Indonesia yang didakwa mempunyai unsur penyelewengan.

Dalam kenyataan sama, Diana dan Rahim menegaskan bahawa aktiviti yang didakwa sebagai ritual itu sebenarnya merupakan sesi breathwork manakala dekorasi bunga adalah disediakan oleh pihak hotel dan bukan sebahagian daripada program atau ritual tertentu.

Sehubungan itu, mereka menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap syarikat berkenaan dengan laporan polis sudah dibuat pada Sabtu lalu bagi menuntut siasatan menyeluruh dijalankan.

“Kami juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan perkara ini dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, menurut laporan Buletin TV3, polis sudah menahan pasangan suami isteri tersebut selepas mereka memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Selasa.

Perkara tersebut disahkan peguam mereka, Datuk M Reza Hassan dengan menyatakan anak guamnya ditahan polis dari IPD Shah Alam mengikut Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Difahamkan kemas kini maklumat berhubung tangkapan pasangan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

 — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram