[VIDEO] Tarian 'sep sep tom tom' gegar Sepanyol, Permata Seni Tari raih 6 emas


  • Massa
  • Ahad, 06 Jul 2025

Antara gerak tari kumpulan PST di International Dance Games 2025 yang berlangsung di Costa Brava, Sepanyol baru-baru ini.

NAMA Malaysia kembali bersinar di persada dunia apabila kumpulan Permata Seni Tari (PST) berjaya mengharumkan negara dengan memenangi enam emas daripada 13 kategori tarian di International Dance Games 2025 yang berlangsung di Costa Brava, Sepanyol baru-baru ini.

Antara yang menyerlah apabila kejayaan membanggakan itu dicapai menerusi persembahan tarian tradisional 'Sep Sep Tom Tom' apabila memukau para juri dan menarik perhatian penonton antarabangsa dengan keunikan gerak tari dan irama warna-warni budaya Melayu.

Kumpulan yang terdiri daripada bakat-bakat muda di bawah program Permata Seni Tari ini telah menampilkan koreografi yang menggabungkan elemen tradisional dan kreativiti moden, namun tetap mengekalkan keaslian budaya warisan Malaysia.

BACA LAGI: 'Saya pernah bermimpi', Deborah Wong jadi wanita pertama angkat nama Malaysia adili The Open Championship di Ireland

BACA LAGI: WCGC Malaysia makin sengit, 124 bakat golf korporat buru slot wakil negara ke China

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), pertandingan tersebut menghimpunkan penari-penari dari seluruh dunia yang menampilkan pelbagai gaya dan kreativiti tarian, menjadikan kemenangan PST satu pencapaian yang sangat membanggakan buat negara.

“PST bertanding dalam 13 kategori, mempersembahkan tarian berasaskan elemen budaya dan seni tradisional masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Persembahan mereka berjaya mencuri perhatian barisan juri dan penonton antarabangsa,” jelas kenyataan itu.

Kejayaan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap bakat anak muda Malaysia, tetapi juga memperlihatkan kekayaan serta keunikan warisan seni budaya tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Selain bertanding, para peserta turut mengambil peluang menyertai bengkel intensif dan sesi ‘masterclass’ bersama tenaga pengajar serta pakar tarian antarabangsa, yang memberikan pendedahan dan pengalaman baharu kepada mereka.

JKKN memaklumkan bahawa penglibatan antarabangsa Permata Seni merupakan antara inisiatif strategik di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN dan Istana Budaya (IB).

“Usaha ini selari dengan hasrat untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berbakat dalam bidang seni budaya, tetapi juga berketerampilan tinggi dan mampu menjadi pewaris legasi seni negara,” tambah kenyataan itu lagi.

Program Permata Seni yang mendapat peruntukan khas daripada KPM merangkumi tiga cabang utama iaitu Permata Seni Tari (PST), Permata Seni Koir (PSK) dan Permata Seni Muzik (PSM), masing-masing bertujuan memperkasa bakat seni dalam kalangan kanak-kanak dan remaja secara menyeluruh.

Kejayaan di pentas antarabangsa itu membuktikan bahawa seni budaya Malaysia terus mendapat tempat di hati masyarakat dunia, dan anak-anak Permaya Seni Tari membuktikan bahawa bakat tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan yang terbaik di dunia.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram