
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyemak semula isu larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza.
Arahan tersebut dikeluarkan susulan laporan mengenai sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas Fahmi, yang telah mencetuskan perhatian umum dan perbincangan mengenai kebebasan individu di negara ini.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Kerajaan Madani menegaskan komitmennya terhadap prinsip kebebasan individu, selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.
BACA LAGI: Fahmi Reza dakwa dihalau, dilarang masuk Sabah
BACA LAGI: Fahmi Reza bebas dengan jaminan polis, pulang semula ke Kuala Lumpur
“Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara untuk menyemak isu larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap saudara Fahmi Reza.
“Kerajaan Madani menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.
“Oleh itu, pihak PDRM perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini,” kata kenyataan itu pada Ahad sambil menambah bahawa pejabat perdana menteri akan terus memantau isu berkenaan.
Arahan itu dikeluarkan selepas Fahmi ditahan oleh pihak imigresen ketika cuba berlepas ke Singapura dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Menurut Fahmi, dia merancang untuk menghadiri persembahan dua kumpulan muzik punk, Slant dari Korea dan Sial dari Singapura apabila ditahan di kaunter imigresen pelepasan antarabangsa.
Pegawai imigresen memaklumkan bahawa larangan tersebut dikeluarkan oleh Bukit Aman, namun tiada alasan rasmi diberikan berhubung sekatan itu.
Insiden itu berlaku hanya seminggu selepas nama Fahmi disenarai hitam daripada memasuki negeri Sabah, yang turut menimbulkan persoalan mengenai kebebasan pergerakan aktivis tersebut.
Dalam pada itu, PDRM menafikan dakwaan Fahmi dikenakan sekatan pergerakan, sebaliknya menjelaskan bahawa nama Fahmi hanya berada dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum laporan media serta reaksi awam berhubung dakwaan sekatan pergerakan terhadap Fahmi.
Razarudin menyatakan bahawa kekeliruan semasa semakan di pintu keluar negara menyebabkan arahan sekatan dikeluarkan secara tidak tepat
“Tiada sebarang sekatan rasmi dikenakan terhadap Fahmi Reza buat masa ini.
"Namun, nama beliau telah dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan susulan siasatan kes yang masih dijalankan oleh pihak PDRM,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Ahad..
Beliau menegaskan bahawa senarai pemantauan tersebut tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prosedur pemantauan lazim yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, kekeliruan telah berlaku semasa proses semakan di pintu keluar negara pada Sabtu yang menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram