
TERMINAL 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak boleh diakses buat sementara waktu kepada pengguna jalan raya semasa penutupan jalan pada Selasa (15 April) dan Khamis (17 April) sempena lawatan tiga hari Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam nasihat perjalanan disiarkan di laman Facebook rasminya pada Isnin memaklumkan, penutupan dalam tempoh tersebut meliputi kawasan berlepas, ketibaan dan tempat letak kereta (parkir) Terminal 2 KLIA.
"Terminal 2 hanya boleh diakses melalui KLIA Transit dari Terminal 1.
"Penumpang yang tiba di Terminal 2 mesti menaiki KLIA Transit ke Terminal 1 untuk urusan perjalanan alternatif," kata kenyataan itu.
MAHB berkata, penutupan jalan sepenuhnya juga akan dilaksanakan dari pukul 6 petang hingga 7 malam Selasa (15 April) dan dari pukul 8.50 pagi hingga 9.50 pagi pada Khamis (17 April) melibatkan Lebuh KLIA, ELITE Expressway, Lingkaran Putrajaya, Lebuh Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.
"Pengguna harus merancang perjalanan ulang-alik ke lapangan terbang mereka di luar waktu penutupan jalan jika boleh untuk mengelakkan kelewatan," katanya.
MAHB juga mengesyorkan pengembara menggunakan perkhidmatan kereta api KLIA Ekspres dari KL Sentral ke/dari Terminal 1 dan 2 KLIA, atau Transit KLIA dari KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya & Cyberjaya atau stesen Salak Tinggi ke/dari Terminal 1 dan 2 KLIA.
Jika pemanduan tidak dapat dielakkan, laluan alternatif tersedia adalah dari ELITE Expressway > susur keluar di plaza tol Serenia > Kota Warisan > Bulatan Masjid > Jalan KLIA 1 > Bulatan Charterfield > Terminal 1 KLIA (berlepas/ketibaan/tempat letak kereta). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram