Hobi 'thrifting' jadi bisnes, anak jati Parit Raja fokus koleksi perabot terpakai rekaan pereka profesional


  • Bizz
  • Selasa, 15 Apr 2025

Haziq (gambar kiri) mula secara aktif mengumpulkan perabot terpakai sejak 2021.

SEBAGAI penggemar barangan terpakai, Haziq Nor Azahar yang berasal dari Parit Raja, Batu Pahat di Johor sering berkunjung ke Rengit untuk memburu barangan terpakai.

Terletak kira-kira hanya 26 kilometer (KM) dari rumahnya, Rengit sememangnya dikenali sebagai lokasi yang menjadi syurga bagi penggemar aktiviti 'thrifting dengan bermacam pilihan barang terpakai termasuk perabot diimport daripada pelbagai lokasi termasuk Singapura.

Bagaimanapun, dalam kunjungan tersebut, beliau yang juga graduan bidang perladangan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka mula terdedah kepada kerusi rekaan pereka profesional atau designer chair yang ditawarkan di lokasi berkenaan.

BACA LAGI: Harga berpatutan, hidangan pantas resipi bisnes nasi daun pisang anak Kedah berkembang, cecah pendapatan RM70 juta

BACA LAGI: Obsesi baharu bilionair China jaga masa depan negara

"Waktu itu bila kita pergi ke sana, sebenarnya kita cari benda lain. Tapi lepas kita nampak ada kerusi tertentu yang cantik, saya pun tertarik.

"Mula-mula saya ambil gambar, balik buat carian sendiri di internet. Lepas itu baru tahu yang itu adalah designer chair.

"Daripada situ saya belajar sikit-skit," katanya yang sudah meminati aktivit memburu barangan terpakai sejak bergelar siswa di universiti.

"Jadi, asalnya memang benda ini adalah hobi.

"Cumanya masa belajar itu kita memang kekurangan modal dan kerusi rekaan pereka profesional ini seperti diketahui harganya agak mahal.

"Jadi kita hanya mampu beli satu dan dua," ujarnya yang meminati Panton Chair rekaan pereka Verner Panton.

Sebaik menamatkan pengajian pada sekitar 2016, Haziq memulakan beberapa perniagaan antaranya dengan membuka kedai membaiki dan menjual telefon pintar serta studio fotografi yang kedua-duanya beroperasi di Parit Raja.

Pada masa sama, minatnya untuk memburu perabot terpakai turut membawanya mengembara ke beberapa tempat menjual barangan tersebut di Johor dan Singapura.

Namun, dalam tempoh tersebut, beliau kemudiannya secara tidak sengaja terdedah kepada idea bagi menukarkan aktiviti yang menjadi hobinya untuk menjadi perniagaan ketika menguruskan perubahan rekaan dalaman di studio miliknya.

Antara koleksi kerusi terpakai yang ditawarkan di JaSuka. — JaSuka

"Bila ada studio, kita perlukan prop yang lain daripada lain. Kita tak boleh guna perbot yang biasa.

"Jadi daripada situ saya kumpul banyak perabot terpakai ini. Cumanya, setiap tahun kita nak kena tukar konsep.

"Tapi masalahnya kita tidak ada tempat untuk simpan perabot yang lama. Penyelesaiannya adalah kita terpaksa jual," ujarnya.

Menurut Haziq, langkahnya untuk menjual perabot yang sudah digunakan dari studionya itu ternyata membuka mata terhadap peluang yang wujud dalam perniagaan perabot terpakai.

JaSuka menumpukan kepada perabot terpakai rekaan pereka profesional dan unik.

"Alhamdulillah, bila kita buat keputusan untuk jual, memang ada sambutan termasuk daripada kenalan," ujarnya.

Bermula pada 2021, Haziq berkata, beliau mula secara aktif mengumpulkan lebih banyak perabot daripada pelbagai tempat.

Dengan jumlah koleksi semakin meningkat, beliau seterusnya pada November tahun lalu mengambil keputusan mengasaskan JaSuka, platform jualan yang memfokuskan perabot terpakai niche hasil rekaan pereka profesional dan unik.

Kini, JaSuka yang berpangkalan di Parit Raja mempunyai lebih 200 koleksi perabot terpakai dengan slogan 'barangan terpilih buat yang terpilih'.

"Jadi kerusi ini memang pilih satu-satu dan bukannya ambil secara borong. Kemudian walaupun kita ada juga tawarkan perabot terpakai daripada IKEA, tapi koleksi yang kita ambil biasanya unik yang mana pengeluarannya sudah dihentikan," katanya yang kini turut dibantu dengan tiga orang pekerja bagi menguruskan pengurusan stok, penghantaran dan pemasaran.

Dalam pada itu, Haziq berkata, selain kerusi jenis Panton, kerusi lain yang menjadi kegemarannya adalah Barcelona Chair yang direka oleh Ludwig Mies van der Rohe.

Ujarnya, pengalaman awalnya dalam memperoleh kerusi terbabit turut membuka mata terhadap potensi yang dimiliki dalam perniagaan perabot terpakai.

"Waktu itu saya dapat Barcelona Chair pada harga RM50 dan saya dapat jual balik pada harga RM900 mengikut harga pasaran.

"Bila dapat macam itu, saya sedar yang kita boleh dapat keuntungan yang tinggi daripada aktiviti ini," kongsinya yang kini turut memiliki sebuah kafe di Johor Bahru.

Menurut Haziq, untuk memastikan produk yang dijual adalah mampu milik, beliau menetapkan bahawa JaSuka hanya akan menetapkan setiap perabot dijual adalah 30 peratus lebih kurang berbanding harga pasaran semasa.

Katanya, selepas kira-kira hampir enam bulan beroperasi, JaSuka berjaya memperoleh pendapatan bulanan kasar sekitar RM20,000.

"Ketika ini kami masih belum beroperasi dengan kapasiti penuh sebab kami sedang dalam proses bangunkan sistem laman web dan jualan kami.

"Kami jangka laman web kami akan dilancarkan bulan depan. Lepas daripada itu baru kami dapat bergerak dengan lebih aktif," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram