
POLIS Kelantan dijangka memanggil enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat, Eda Ezrin, untuk siasatan lanjut sebaik mereka pulang ke negeri ini selepas dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dadah oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand bulan lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kes melibatkan mereka masih belum dianggap selesai walaupun mereka dibebaskan oleh pihak berkuasa Thailand.
"Kes membabitkan mereka (enam rakyat Malaysia yang ditahan polis Thailand dalam operasi antidadah di Sungai Golok pada November tahun lalu itu) mungkin dilihat tamat apabila mereka dibebaskan dari tahanan di Thailand.
BACA LAGI : [VIDEO] Polis didesak ambil tindakan khas terhadap ‘Sarjan Alang’, bimbang kalau terjadi kemalangan
BACA LAGI : [VIDEO] Polis JB reman pemandu mabuk rempuh maut 2 lelaki bantu mangsa kemalangan
"Namun, perkara ini belum berakhir kerana pihak kami (polis Kelantan) akan memanggil mereka untuk siasatan lanjut sebaik mereka kembali ke Kelantan.
"Polis juga akan mengarahkan mereka menjalani ujian air kencing sekali lagi dan saya akan mengarahkan pegawai saya untuk melaksanakannya sebaik mereka pulang," katanya pada Ahad.
Pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail yang terkenal dengan lagu Bey Soba Bey, bersama suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, dan empat lagi rakyat Malaysia iaitu Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26 dihadapkan ke Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil yaba dan penggunaan dadah.
Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan penggunaan dadah namun menafikan pertuduhan memiliki bahan terlarang itu.
Keenam-enam individu berkenaan ditahan ketika pihak polis Thailand menyerbu sebuah hotel di Sungai Golok pada 1 November tahun lalu, tempat mereka menginap.
Selain pertuduhan dadah, Zuhaira dan Erdeka turut didakwa memasuki Thailand tanpa dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Pada 6 Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan kesemua tertuduh daripada pertuduhan memiliki pil yaba, manakala bagi pertuduhan penggunaan dadah, mereka dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda 4,000 baht setiap seorang.
Namun begitu, hukuman itu dianggap selesai kerana mereka telah menjalani tahanan lebih empat bulan di Penjara Narathiwat.
Walau bagaimanapun, pada 8 April lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membenarkan rayuan pihak pendakwa raya Thailand untuk melanjutkan tempoh tahanan terhadap keenam-enam rakyat Malaysia itu selama sebulan lagi bermula 6 April. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram