Hari Raya Aidilfitri 2025 disambut pada Isnin


  • Primer
  • Ahad, 30 Mac 2025

Tan Sri Syed Danial mengumumkan tarikh Hari Raya Aidilfitri 2025 pada Ahad.

UMAT Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Isnin ini.

Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada Ahad malam.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada Isnin, 31 Mac," katanya.

BACA LAGI: Tarikh lihat anak bulan Syawal 30 Mac di 29 lokasi

BACA LAGI: 'Cita-cita di bangku sekolah tercapai', orang kampung bangga Avlyanie satu-satunya anggota wanita SMART jayakan misi di Myanmar

Pengisytiharan itu sekali gus memberi berita gembira buat seluruh umat Islam kerana menandakan kejayaan berpuasa selama 30 hari.

Terdahulu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada Ahad.

Sebanyak 29 lokasi sudah dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal iaitu Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail, Pontian di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Melaka; Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Di Selangor pula ialah Bukit Melawati, Kuala Selangor; Balai Cerap Bukit Jugra, Banting dan Sabak Bernam, Sabak Bernam, manakala Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang; Stesen Cerap Hilal di Kampung Pulau Sayak dan Menara Alor Setar, Kedah.

Antara lokasi lain ialah Stesen Cerapan Hilal Bukit Kampong Tembeling, Menara Bangunan SEDC, Bukit Peraksi, Pasir Puteh di Kelantan dan Stesen Cerap Hilal di Bukit Besar, Bukit Geliga, Pulau Perhentian dan KUSZA di Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram