Mahkamah tolak permohonan ikat jamin CEO GISB, 12 pengikut


Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan mengikat jamin. — The Star

MAHKAMAH Tinggi, Shah Alam, Selangor pada Isnin menolak permohonan mengikat jamin Ketua Pegawai eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali, 66, dan 12 lagi pengikutnya.

Selain Nasiruddin, dua lagi ialah Mohammad Adib At-Tamimi, 33, yang merupakan anak bekas pengasas al-Arqam Ashaari Muhammad; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan jaminan oleh lapan wanita termasuk isteri Nasiruddin, Azura Md Yusof, 58, Nurul Jannah Idris, 29; Nur Jannah Omar, 33; Siti Salmiah Ismail, 58; Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28 dan Mahani Kasim, 55.

BACA LAGI: Kes GISB: Keputusan ikat jamin 22 ahli termasuk CEO dan isteri ditetapkan 24 Mac

BACA LAGI: Kes 22 ahli GISB dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, peguambela mohon CEO dan isteri dilucut penahanan penjara, perintah 'gag order'

Setiap daripada mereka dibenarkan diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.

Hakim Latifah Mohd Tahar ketika menolak permohonan Nasiruddin dan 12 yang lain berkata, pemohon gagal memenuhi mana-mana syarat seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 13(2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.

Beliau berkata, tujuh daripada pemohon iaitu Nasiruddin, Mokhtar, Hasnan, Mohd Fazil, Shuhami, Muhammad Zahid dan Mohd Shukri, bukan berumur di bawah 18 tahun dan tidak termasuk dalam kategori pengecualian seperti termaktub dalam seksyen itu.

Bukti juga tidak mencukupi dalam afidavit pemohon yang menunjukkan mereka mempunyai masalah kesihatan.

"Kebanyakan pemohon dilaporkan menghidap penyakit termasuk kencing manis dan darah tinggi serta sedang mengambil ubat yang disediakan pihak perubatan.

"Namun, laporan kesihatan terkini yang disediakan pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Penjara Sungai Buloh, Selangor menunjukkan keadaan kesihatan pemohon stabil.

"Ketika menghadiri pemeriksaan kesihatan, pemohon dapat berjalan sendiri tanpa sebarang kecacatan, tidak menunjukkan tanda-tanda kesukaran bernafas dan boleh menjalankan kehidupan seharian secara berdikari," katanya.

Bagi enam pemohon yang lain, tiada bukti menunjukkan mereka menghidap sebarang penyakit atau tidak sihat manakala laporan kesihatan terkini mendapati mereka berada dalam keadaan baik dan stabil serta tidak mempunyai sebarang penyakit kronik serta boleh menjalankan aktiviti harian secara berdikari.

Sementara itu, Latifah berkata, mereka juga termasuk dalam kategori pengecualian yang ditetapkan di bawah Seksyen 13(2)(b) Sosma.

"Tiada bukti dalam afidavit jawapan responden (Pendakwa Raya) yang menunjukkan pemohon mempunyai risiko melarikan diri.

"Akuan sumpah itu hanya menyatakan terdapat risiko kebarangkalian yang sangat tinggi untuk pemohon menghubungi atau berjumpa dengan saksi atau mangsa yang dikhuatiri berpotensi untuk dipengaruhi pemohon.

"Bagaimanapun, pemohon telah memberi aku janji untuk tidak bertemu atau menghubungi saksi, jika jaminan dibenarkan.

"Mengambil kira perkara ini, mahkamah menggunakan kuasa budi bicaranya seperti yang diperuntukkan dalam akta (Sosma) untuk memberikan jaminan kepada semua pemohon," jelasnya.

Mereka juga dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu dan hadir ke mahkamah pada setiap tarikh yang ditetapkan.

Mereka juga tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi dalam kes itu.

"Sekiranya mereka gagal mematuhi mana-mana syarat jaminan, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap, ikat jamin boleh dirampas atau dinaikkan dan dibatalkan serta mereka boleh dihantar ke penjara sementara menunggu kes selesai," tambahnya.

Pada 23 Oktober 2024, kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor antara Oktober 2020 dan 11 September 2024. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram