[VIDEO] Licik buat kerja ketika orang berbuka puasa, pencuri larikan RM800, pasport pekerja restoran di Kluang


  • 112
  • Khamis, 13 Mac 2025

Lelaki tidak dikenali mengambil kesempatan ketika pekerja restoran berbuka puasa dengan menceroboh dapur sebuah kedai makan sebelum melarikan wang tunai RM800 dalam kejadian di Kluang Parade pada Rabu.

PEKERJA kedai makan berputih mata apabila beg tangannya dilarikan oleh individu yang tidak dikenali dalam kejadian di sebuah restoran di Kluang Parade, Kluang, Johor pada Rabu. 

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa, Sumarmi, 55, yang merupakan warga Indonesia sedang berbuka puasa bersama rakan sekerjanya sekitar pukul 9 malam di tingkat bawah pusat beli-belah tersebut iaitu Kedai Makan Wan DJ.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati mangsa meletakkan beg tangannya di bawah meja di dapur sebelum ke bahagian hadapan restoran untuk makan.

BACA LAGI: Polis jumpa petunjuk baharu dalam siasatan kes Zayn Rayyan

BACA LAGI: Tiada tindakan lanjut terhadap 3 penyampai radio ERA FM, denda RM250,000 sudah memadai — Fahmi Fadzil

Namun, sebaik kembali ke dapur selepas selesai berbuka, dia mendapati beg tangannya hilang.

"Pada mulanya, mangsa cuba mencari begnya di sekitar premis tetapi gagal menjumpainya.

"Tidak lama kemudian, beg tersebut ditemukan di kaki lima luar dapur restoran dalam keadaan telah digeledah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bahrin berkata, hasil pemeriksaan mendapati wang tunai RM800 serta pasport milik mangsa telah lesap, sementara hanya surat pajak gadai dan surat kedai emas Seri Maju yang ditinggalkan.

Sebelum ini, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis yang memaparkan seorang lelaki memakai penutup kepala memasuki restoran melalui pintu belakang sebelum dilihat beredar dengan membawa sebuah beg tangan dipercayai milik mangsa.

“Kami percaya suspek mengambil kesempatan ketika mangsa dan pekerja lain sedang berbuka puasa di bahagian hadapan kedai sebelum melarikan beg tangan itu tanpa disedari sesiapa,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Polis giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram