Pasar raya bukan pesaing kedai runcit, harga penentu peniaga kecil gulung tikar atau bertahan


  • Bizz
  • Jumaat, 28 Feb 2025

Muhammad Fahmi berkata, secara asasnya pasar raya besar kurang memberi impak kepada kedai runcit kerana perbezaan segmen pasaran. — Gambar hiasan

DI Malaysia, fenomena pertumbuhan pasar raya besar dilihat memberi impak langsung terhadap kelangsungan kedai runcit yang sekian lama menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat di dalam negara.

Malah, ada berpendapat kehadiran pasar raya di sesuatu kawasan seakan-akan menjadi pembunuh kepada kewujudan kedai runcit di tempat tersebut.

Ini kerana untuk berdepan persaingan dengan pasar raya besar bukan mudah.

BACA LAGI: Inovasi meja ergonomik anak muda dari Pulau Pinang, tak gentar persaingan, teruskan legasi keluarga

BACA LAGI: Hobi berkhemah jadi bisnes, Kemrent Empire sasar 'one-stop centre' barangan aktiviti perkhemahan

Pasar raya besar dapat menawarkan harga lebih kompetitif, terutama dengan promosi atau tawaran diskaun yang menarik.

Oleh kerana mereka membeli dalam jumlah lebih besar, pasar raya besar juga dapat menurunkan kos produk dan menawarkan harga lebih rendah kepada pengguna.

Untuk itu, Majoriti mendapatkan pandangan pakar kewangan yang juga Ketua Perbankan Islam Sunline Technology, Muhammad Fahmi Mustafa mengenai realiti sebenar risiko ancaman pasar raya besar terhadap kedai runcit.

Shopper is seen passing by the Year End Sale's promotion at the entrance of hypermarket in Kuala Lumpur on December 16.—AZMAN GHANI/The Star

Pasar raya besar selalunya menawarkan harga lebih kompetitif dari segi promosi atau diskaun menarik. — Gambar hiasan

Apakah impak baik dan buruk terhadap kedai runcit apabila wujudnya pasar raya besar di sesuatu kawasan?

Sebenarnya pasar raya besar kurang memberi impak kepada kedai runcit kerana berbeza segmen pasaran. Konsepnya berskala besar dan beroperasi di sesuatu kawasan tertentu.

Namun, jika dilihat dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini yang memberi saingan kepada kedai runcit adalah rangkaian kedai serbaneka yang tumbuh dalam jumlah banyak dan di merata-rata tempat.

Tambahan pula, kedai serbaneka menawarkan harga lebih kompetitif dan murah berbanding pasar raya besar. Jadi, kedai serbaneka sebenarnya memberi impak besar kepada kedai runcit.

Seandainya impak kurang memberangsangkan, apa kaedah terbaik perlu dilakukan peruncit kecil untuk terus kekal relevan?

Kebiasaannya, kedai serbaneka menawarkan produk telah tersedia. Jika pelanggan mahukan kelapa parut misalnya, ia tidak dijual di sana ataupun di pasar raya.

Ia berikutan kelapa parut adalah satu perkhidmatan di kedai runcit. Oleh itu, pemilik kedai runcit perlu mempelbagaikan perkhidmatan bagi membolehkan mereka bersaing dengan kedai serbaneka.

Selain itu, tidak dinafikan pasar raya besar turut menjual barangan basah sama seperti ditawarkan di kedai runcit.

Namun, bukan semua pasar raya menawarkan perkhidmatan memotong ayam dan menyiang ikan. Jadi, kedai runcit boleh fokus kepada perkhidmatan berkenaan.

Pasar raya besar turut membuka pasar mini atas jenama mereka sendiri, adakah ini boleh membunuh peniaga runcit?

People buy their things in conjunction of Chinese New Year 2024 Festive Season Maximum Price Scheme at Giant hypermarket in Kuala Lumpur. — FAIHAN GHANI/The Star

Tawaran pilihan yang luas menjadi antara kelebihan pasar raya besar berbanding kedai runcit kecil. — Gambar hiasan

Seandainya pasar raya besar menggunakan pendekatan seperti kedai serbaneka terhadap pasar mini mereka, ya ia boleh membunuh peniaga runcit yang menjual barangan keper­luan harian.

Apatah lagi, sekiranya kedua-dua entiti itu turut menawarkan perkhidmatan yang sama seperti servis memotong ayam atau memarut kelapa. Ia berpotensi menjejaskan operasi perniagaan runcit.

Adakah perkembangan ini boleh dikawal bagi mengelakkan lebih ramai peniaga runcit kecil gulung tikar?

Dari sudut ekonomi permintaan dan penawaran dalam apa jua situasi sekali pun, perkara akhir akan dinilai oleh pengguna adalah harga.

Harga adalah penentu sama ada peniaga kecil akan gulung tikar atau sebaliknya. Sukar untuk mengawal situasi ini kerana pasar raya dan kedai serbaneka mempunyai dana yang cukup besar untuk bertahan berbanding kedai runcit.

Situasi ini berlaku di merata tempat, seperti saya membesar di Selayang, Selangor. Beberapa kedai runcit pada zaman saya membesar sudah lama tutup berpunca dek persaingan dan pengangkutan.

Berpuluh tahun dulu kedai runcit dapat bertahan di sesuatu kawasan, tetapi apabila pelanggan mudah bergerak, maka pilihan kepada pengguna juga semakin banyak.

Namun, jika kedai runcit dapat menawarkan perkhidmatan mengikut kehendak pelanggan di kawasan mereka, perniagaan itu mampu bertahan.

Apakah nasihat anda kepada bakal peniaga khususnya peruncit kecil?

Qra aims to deliver a community rooted, customer-centric, thoughtfully curated shopping experience.

Muhammad Mustafa berkata, kedai runcit perlu membuat kajian mendalam terhadap kawasan mereka beroperasi. — Gambar hiasan

Perkara pertama perlu dilakukan adalah membuat kajian mendalam terhadap kawasan yang ingin diteroka.

Misalnya, ada satu kedai runcit dibuka di kawasan kilang yang sebahagian besar pekerjanya adalah warga Bangladesh.

Pemilik kedai runcit merupakan orang tempatan. Jadi, beliau menjual dan mengimport produk-produk dari negara berkenaan, selain memperbanyakkan sayur dan ayam pula dijual seekor, tidak dipotong. Kedai runcit ini tawarkan segala keperluan warga Bangladesh inginkan.

Pihak pasar raya besar atau kedai serbaneka pun tidak mampu tawarkan perkhidmatan sama seperti pengusaha kedai runcit terbabit.

Kedua, perlu amalkan strategi pengurusan inventori yang betul. Ketika ini banyak aplikasi boleh digunakan melalui tablet sahaja. Jadi ia memudahkan para peruncit membuat analisis data antara produk menjadi pilihan dan barangan kurang mendapat sambutan.

Ketiga, kaedah pembayaran harus lebih mesra pengguna seiring perkembangan dunia digital. Usahakan pembayaran tanpa sentuh seperti mengimbas kod respons pantas (QR) daripada aplikasi mudah alih.

Seterusnya, keempat adalah menitikberatkan aspek kebersihan. Sebahagian besar pengguna kini beralih kepada kedai yang lebih eksklusif kerana premis berkenaan jauh lebih bersih berbanding pasar raya dan kedai serbaneka.

Jadi, kedai runcit cuba tingkatkan tahap kebersihan bagi menarik pelanggan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram