Pengalaman 4 kali pimpin ASEAN bantu Malaysia suntik anjakan baharu kemudi negara serantau


  • Primer
  • Selasa, 18 Feb 2025

Malaysia akan menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN buat kali kelima selepas menyandang tugas itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

PERANAN Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini merupakan peluang penting untuk mengukuhkan ekonomi domestik di samping, meningkatkan kedudukan global dan memperkukuhkan perpaduan serantau.

Dengan ketidakpastian geopolitik dan naik turun ekonomi yang membentuk landskap global, peranan kepemimpinan Malaysia dengan berteraskan Visi Komuniti ASEAN 2045, menawarkan platform untuk mempamerkan kekuatan negara, menarik pelaburan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau.

Begitu pun, kepemimpinan itu datang dengan cabaran tersendiri. Ini kerana Malaysia secara teliti perlu mengimbangi antara tekanan luaran dengan keutamaan dalaman.

BACA LAGI: Malaysia bangkit isu pelarian Rohingya ketika Pengerusi Asean 2025 — Menteri Luar

BACA LAGI: Negara ASEAN sepakat mahu bantu Malaysia, tangani isu beras — Mohamad Sabu

Kejayaan menguruskan keseimbangan tersebut boleh menghasilkan manfaat ekonomi dan geopolitik yang signifikan buat negara.

Bendahari Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Datuk Koong Lin Loong berkata, peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dijangka merangsang aktiviti ekonomi yang signifikan kepada negara.

download (7)

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia juga berpeluang menangani cabaran dihadapi oleh ekonomi, seperti kenaikan kos bahan mentah yang diimport. — Gambar hiasan

“Penganjuran pelbagai simposium, forum dan acara kebudayaan akan meningkatkan penyertaan domestik dan antarabangsa, merangsang sektor-sektor seperti hospitaliti, runcit serta infrastruktur.

“Kebanjiran pelawat dan perniagaan dari luar negara akan memacu penggunaan domestik dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Program sedemikian juga menyediakan platform berharga untuk mendepani bidang-bidang kritikal seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang mana Malaysia masih memiliki ruang untuk penambahbaikan.

“Dengan mengutamakan inovasi dan perbincangan teknologi, kepengerusian Malaysia di peringkat ASEAN boleh memacu kemajuan dalam sektor-sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E) yang menyaksikan kita sebagai negara yang memiliki kedudukan serantau yang kukuh,” kata Koong.

Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia juga berpeluang untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh ekonomi, seperti ketidaktentuan mata wang dan kenaikan kos bahan mentah yang diimport.

Tambah Koong, pengukuhan dasar yang menyokong automasi dan inovasi teknologi dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang membentuk 97.4 peratus daripada perniagaan, juga adalah penting.

“Namun, kerajaan perlu memastikan bahawa agensi dan jabatan-jabatannya tangkas dan bersedia untuk menarik serta mempermudah pelaburan asing, menyelaraskan proses birokrasi untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mesra pelabur,” katanya.

1875524

Peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN dijangka merangsang aktiviti ekonomi yang signifikan kepada negara. — Gambar hiasan

Sebagai salah satu pengeksport terbesar ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menggunakan kedudukan sebagai pengerusi bagi navigasi landskap perdagangan yang kompleks.

Ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China yang berterusan selain dasar tarif lama, termasuk yang diperkenalkan semasa pentadbiran Donald Trump sebelum ini, terus membentuk dinamik perdagangan global.

“Malaysia boleh memanfaatkan kepemimpinan ini untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala dan multilateral, sekali gus memastikan ekonomi domestiknya kekal berdaya tahan,” kata Koong lagi.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa reputasi Malaysia sebagai negara yang sederhana dan neutral menjadikannya destinasi menarik untuk perniagaan mencari kestabilan di tengah ketidakpastian geopolitik.

“Infrastrukturnya yang maju, termasuk sistem pengangkutan awam yang efisien, menambah daya tarikan negara sebagai hab serantau untuk pelaburan.

“Menggalakkan industri berteknologi tinggi untuk berpindah ke Malaysia dan memupuk hubungan yang lebih kuat dengan ekonomi utama boleh meningkatkan lagi landskap perdagangan dan pelaburan negara,” katanya.

download (8)

Malaysia juga boleh mempromosikan perpaduan dengan kerjasama antara negara anggota, serta memupuk rasa kebersamaan dalam menangani cabaran ekonomi, sosial dan geopolitik.

Di sebalik faedah kepada negara, kepengerusian Malaysia dalam ASEAN turut mempunyai implikasi serantau dan antarabangsa yang signifikan.

Ini termasuk peluang untuk mempromosi perpaduan dan kerjasama antara negara anggota, serta memupuk rasa kebersamaan dalam menangani cabaran ekonomi, sosial dan geopolitik.

“Kepengerusian ini juga menyediakan platform untuk menangkis salah faham terhadap Malaysia, seperti dakwaan ekstrimisme, dengan mempamerkan kepelbagaian, inklusiviti dan inovasi negara kepada dunia,” jelas Koong.

Pengalaman Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015 akan terus membawa anjakan baharu, selain sebagai panduan utama mengemudi kumpulan negara serantau.

Tumpuan tahun ini terhadap inklusiviti dan kemampanan menunjukkan peralihan ke arah perancangan strategik jangka panjang berbanding keuntungan jangka pendek, mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pemimpin yang mantap dan pragmatik dalam ASEAN.

Bagaimana Malaysia menggunakan posisi tersebut bergantung terhadap keupayaannya menukar pelan kepada tindakan, mengukuhkan kerjasama serantau dan menangani realiti ekonomi serta politik yang membentuk rantau ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram