![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/12/3164075.jpg)
WANITA berasal Kapar, Selangor maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dan melanggar tembok batu di Kampung Pengkalan, Alor Gajah, Melaka pada Selasa.
Kejadian itu dilaporkan berlaku sewaktu mangsa yang berusia 27 tahun dipercayai dikejar suaminya dengan menaiki motosikal lain selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Ketua Polis Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, anak buahnya masih menjalankan siasatan berdasarkan maklumat terkini yang diterima berhubung kemalangan yang meragut nyawa Nur Erdiyanah Samsul Maarif.
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara tak tunggu tongkang berhenti, badan lelaki nyaris terbelah
“Seorang saksi menyatakan berlaku pertengkaran antara mangsa dan suaminya yang berusia 22 tahun sebelum kejadian menyebabkan berlaku kejar-mengejar di antara mereka masing-masing menaiki motosikal berasingan.
“Suami sedang mengejar mangsa apabila motosikalnya terbabas di selekoh tajam berhampiran Kolej Vokasional Datuk Sri Mat Zin sebelum jentera itu merempuh tembok batu sehingga menyebabkannya maut,” katanya pada Rabu.
Mangsa yang dalam perjalanan pulang dari Melaka Pindah menghala ke Jalan Kasa Height maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ashari berkata, polis telah menghubungi suami mangsa yang bekerja sebagai pengangkut barang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Punca pertengkaran antara pasangan yang tidak mempunyai anak itu masih dalam siasatan.
“Ada kemungkinan kita akan reman suami mangsa bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. — The Star/RSN MURALI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram