![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/10/3160181.png)
MAYAT seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tertiarap di sebuah ladang getah di Kampung Kubu dekat Marang, Terengganu pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Sofian Redzuan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu pukul 3.15 petang apabila Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki.
Jelasnya, mayat tersebut ditemui dalam keadaan tertiarap di atas tanah dan memakai baju-T warna hitam serta seluar pendek warna coklat.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu lori cuai dipercayai punca nahas dua maut di Kuala Krai — Polis
"Mayat lelaki itu dianggarkan berusia lingkungan 35 tahun dan disyaki meninggal dunia kurang dari tempoh 24 jam ketika ditemui.
"Sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Marang dan Cawangan D10, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.
"Pemeriksaan awal pada keseluruhan badan mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Sofian lagi, mayat berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Terangganu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Marang di talian 09-6182222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram