SEORANG penoreh getah yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Tasik Bera, Kampung Benal Pos Iskandar, Kemayan, Pahang ditemukan lemas pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang pada Sabtu, mangsa, Sabri Juaram, 49, bersama isterinya berusia 43 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun menaiki bot dari pangkalan Kampung Putat untuk pulang ke rumahnya iaitu ke Kampung Benal Pos Iskandar.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Wan Ahmad Fadilah Wan Abdul Rahman berkata, mayat Orang Asli itu ditemui pada pukul 10 pagi.
BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara
Wan Ahmad berkata, mangsa dijumpai oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin melalui teknik selaman dengan kedalaman 2.5 meter.
"Pasukan PPDA membuat selaman pada pukul 9.09 pagi sejauh dua meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Wan Ahmad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Ahad dimulakan pada pukul 9.06 pagi melibatkan 31 orang anggota dan pegawai dari bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Pejabat Daerah.
Tambahnya lagi, penduduk kampung turut membantu operasi pencarian dengan menggunakan enam bot.
Pada Sabtu, mangsa yang juga penoreh getah dilaporkan terjatuh ke dalam tasik.
Isteri mangsa, yang melihat suaminya tenggelam di depan mata memberitahu bahawa suaminya itu sama sekali tidak pandai berenang dan kerap berulang-alik dari Kampung Putat ke Kampung Benal menaiki bot. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram