KEHADIRAN cahaya mata dalam keluarga sememangnya anugerah bagi setiap pasangan. Namun, bersediakah mereka berdepan dengan kehadiran cahaya mata anak orang kelainan upaya (OKU)?
Menjadi ibu bapa kepada anak OKU khususnya sindrom Down bukanlah perjalanan yang mudah, namun ia penuh dengan ilmu berharga dan sokongan yang tidak ternilai.
Seorang pekerja swasta, M. Sashikumar, 42, yang dikurniakan tiga orang cahaya mata termasuk seorang daripadanya ialah anak OKU tidak menafikan realiti segelintir ibu bapa sukar menerima keadaan anak tersebut.
BACA LAGI: Nikmati keindahan Melaka di Casa del Rio, gah dengan sentuhan Baba Nyonya
Rahayu berkata, ibu bapa perlu mengambil tindakan proaktif dalam mencari maklumat dan bantuan yang diperlukan.
“Awalnya, memang susahlah sebagai ibu bapa kerana setiap ibu bapa mengharapkan anak yang normal sahaja. Tetapi, apabila masa berlalu, kami sudah tahu apa yang perlu kami lakukan. Contohnya, kami berhubung dengan kumpulan-kumpulan senasib yang berada di Malaysia dan negara luar,” katanya kepada Majoriti.
Selepas berhubung dengan kumpulan sokongan ini, mereka kini aktif menjadi pembimbing kepada ibu bapa lain.
“Menariknya, kini giliran kami pula menjadi pembimbing untuk ibu bapa yang baru mempunyai anak sindrom Down. Kami beritahu mereka langkah penjagaan, keperluan dan macam-macam,” katanya.
Mengulas mengenai segelintir ibu bapa yang malu mendedahkan keadaan anak mereka, Sashikumar berkata, situasi itu berbeza dengan zaman sekarang ibu bapa lebih terbuka.
“Zaman sekarang, tiada lagi orang sorokkan anak mereka. Pada pendapat saya, ibu bapa atau keluarga itu sendiri sudah mula bawa anak-anak ke tempat awam,” jelasnya.
Dalam usaha memperbaiki kehidupan anak-anak ini, sokongan kerajaan juga tidak kurang pentingnya apabila kerajaan Madani prihatin menyediakan bantuan tambahan kepada golongan ibu bapa ketika Belanjawan 2025 dengan peruntukkan RM200 juta sebagai elaun khas kepada lebih 110,000 murid OKU termasuk autistik.
"Jadi, dengan bantuan kerajaan, ia akan meringankan lagi beban terutamanya buat mereka yang berpendapatan rendah (B40).
“Apabila lahir, kita boleh mohon kad OKU, jadi semua perkhidmatan di pusat-pusat kesihatan adalah percuma,” jelasnya.
Selain sokongan kerajaan, sokongan sosial juga peranan penting dalam membantu ibu bapa anak-anak ini menjalani kehidupan lebih baik.
Pengasas Persatuan Kebajikan Anak-Anak Istimewa Selangor (ORKIDS), Sri Rahayu Samsudin berkongsi pengalaman beliau mengenai sokongan yang diberikan oleh keluarga dan komuniti.
“Sokongan ibu bapa terhadap anak-anak sindrom Down bukan hanya mengenai penerimaan, tetapi juga mengenai tindakan proaktif dalam mencari maklumat dan bantuan yang diperlukan.
“Dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak seperti keluarga, komuniti, dan kerajaan, ibu bapa dapat mengatasi cabaran yang datang dengan lebih positif,” katanya.
Oleh itu, dengan sokongan berterusan, bukan sahaja anak-anak ini boleh hidup dengan lebih baik, malah mereka juga dapat menunjukkan kepada dunia bahawa mereka mempunyai kemampuan dan potensi besar untuk berjaya dalam kehidupan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram