IBU bersama anak perempuannya berusia dua tahun nyaris kehilangan nyawa selepas terlibat dalam satu insiden ngeri di Varzea Grande, Mato Grosso, Brazil.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada 7 Januari lepas itu kembali tular selepas rakaman berkenaan dimuat naik di media sosial pada Selasa.
Rakaman menunjukkan wanita berkenaan dilihat sedang berjalan di selekoh jalan sambil menolak kereta sorong anaknya.
Ketika kejadian, wanita berusia 27 tahun itu berjalan di tengah jalan kerana cuba mengelak laluan tidak rata di jalan berkenaan.
Bagaimanapun, wanita tersebut tergelincir di atas jalan basah sehingga kepalanya terhantuk ke badan bas sebelum tercampak ke jalan raya dengan jarak yang amat dekat dari tayar bas yang sedang bergerak.
Kereta sorong anaknya pula terbalik dan tergelincir jatuh di atas jalan raya.
Keadaan menjadi semakin menakutkan apabila tayar bas yang besar itu dilihat hanya beberapa inci sahaja daripada kepala bayi malang tersebut.
Sekiranya kereta sorong bayi itu berada di tempat sama hanya beberapa saat lebih awal, tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi.
Pemandu dan konduktor akhirnya bergegas keluar setelah memberhentikan bas untuk meminta maaf kepada dua mangsa berkenaan.
Bapa kepada wanita tersebut yang melaporkan kejadian itu berasa seperti kehilangan nyawanya sendiri.
"Setiap kali saya lihat video itu, saya tak boleh berhenti menangis. Cucu perempuan saya jadi takut apabila lihat kenderaan," katanya.
Syarikat bas tersebut telah memohon maaf dan berjanji bahawa pemandu bas berkenaan akan menjalani latihan pemanduan defensif.
Pihak berkuasa tempatan juga menghantar pasukan untuk membaiki jalan yang menjadi punca kejadian itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram