
SEORANG wanita bersama anak perempuannya yang masih remaja ditemui mati dalam sebuah kereta jenis BMW yang diparkir di tepi jalan di hadapan sebuah sekolah kebangsaan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, wanita berusia 42 tahun bersama anaknya yang berusia 14 tahun itu ditemui oleh orang awam sekitar pukul 9 malam Khamis.
Balveer berkata, kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kereta berkenaan sebelum dilaporkan kepada pihak polis.
BACA LAGI: [VIDEO] Teruja 'pose' tepi landasan, pelancong Filipina nyaris maut terperosok bawah kereta api
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal di tiang telekomunikasi, juruteknik maut tersentuh kabel berkuasa tinggi di Jawa Timur
"Berdasarkan siasatan awal, maklumat yang dilihat menerusi perbualan terakhir mangsa dalam kumpulan WhatsApp bersama-sama rakannya, mangsa memaklumkan dia baru selesai membeli-belah di kawasan sekitar BBU (Bandar Baru Uda).
"Mangsa memaklumkan dia berhenti seketika di lokasi kejadian kerana tidak berapa sihat.
"Kami masih menyiasat perkara itu, namun penemuan awal menunjukkan terdapat kebocoran petrol dalam enjin kereta itu menyebabkan asap memasuki sistem penyaman udara.
"Setakat ini, tiada unsur jenayah terlibat," katanya sambil menambah mayat mereka telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.
Beliau berkongsi maklumat itu semasa sidang media di ibu pejabat polis Johor Bahru Utara pada Jumaat.
"Mangsa yang mempunyai tiga orang anak itu tinggal di Bakar Batu, Johor Bahru. Anaknya yang meninggal adalah anak bongsu.
"Semasa kedua-dua mayat ditemui, enjin kereta masih hidup," katanya. — The Star/VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram