LEBIH 60 pemilik kediaman di Perak menjadi mangsa selepas mereka dikenakan caj bil eletrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekitar RM30,000 hingga RM1.2 juta.
Caj tersebut dikenakan TNB kepada mereka selepas berlakunya sambungan elektrik kepada aktiviti perlombongan mata wang kripto di kediaman mereka.
Namun begitu, sekumpulan pemilik kediaman itu tidak berbuat sedemikian, sebaliknya ia dilakukan oleh penyewa di kediaman mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] Kenali dunia BMX: Kaki tersepit pedal tak luntur semangat Ayden BamBam
BACA LAGI: MPOGCF peruntuk lebih RM1 juta konservasi Harimau Malaya
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hin mendedahkan yang dia menerima laporan berkenaan kegiatan tersebut bukan saja dari kawasan parlimennya semata-mata, tetapi dari Manjung serta Sitiawan.
"Para pemilik harta tersebut berang kerana itu bukan salah mereka, jika mereka jual hartanah mereka masih belum cukup untuk tampung semua tuntutan daripada TNB.
"Menurut Akta Pembekalan Elektrik, tindakan TNB adalah berdasarkan kehilangan punca pendapatan akibat gangguan meter. Bagaimana pun, undang-undang tidak memerlukan TNB untuk membuktikan yang pengguna berdaftar yang berbuat demikian yang menyebabkan mereka yang tidak bersalah menanggung kerugian," ujarnya.
Tan menyedari para pemilik tersebut hanyalah mangsa yang tidak bersalah, tetapi TNB dan negara turut terkesan akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini.
Dia menyeru agar tindakan lebih tegas diambil supaya dapat melindungi semua pihak daripada menjadi mangsa.
"Pindaan kepada Akta Pembekalan Elektrik diperlukan untuk melindungi hak pengguna atau pemilik akaun.
"Tindakan segera perlu diambil kira dalam pindaan Akta Pembekalan Elektrik 1990 untuk memastikan tanggungjawab bersama antara pemilik rumah dan penyewa bagi penggunaan elektrik seperti mencipta pangkalan data sewaan berpusat untuk memantau penyewa berisiko tinggi dan TNB menawarkan pelan pembayaran berstruktur untuk meringankan beban mangsa," jelas Tan.
Menurut salah seorang mangsa, Mohd Najib Abdul Hadi, dia menjadi mangsa selepas menyewakan rumahnya pada Januari 2024 selama enam bulan.
Dia yang tinggal di Taiping hanya tahu kejadian tersebut selepas TNB menghantar notis gangguan meter dan bil sudah mencecah RM86,000.
"Saya cuba menghubungi penyewa tetapi tidak memperoleh sebarang maklum balas. Bila saya pergi tengok rumah, semuanya dalam keadaan teruk," katanya.
Semua mangsa sudah melakukan laporan polis dengan majoritinya menerima notis dari pihak TNB. Malah, ada yang turut menerima notis perundangan dan mahu mengheret perkara tersebut ke mahkamah. — The Star/MANJIT KAUR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram