DUA lelaki dipercayai warga emas bersama anak angkatnya ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat berhampiran Jalan Kampung Tongkang Yard, Alor Setar, Kedah pada awal pagi Selasa.
Pegawai Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Kanan I, Azhar Mohamad berkata, mangsa yang rentung berusia 23 dan 61 tahun.
Azhar berkata, jentera bomba dihantar selepas panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.51 pagi.
BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara
"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah. Usaha memadamkan api berjaya mengawal kebakaran pada pukul 7.11 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Kanan I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, kedua-dua mangsa ditemukan di tingkat bawah rumah dan jarak antara mayat yang ditemui itu adalah 0.6 meter.
"Dalam kejadian ini, terdapat dua mangsa ditemui namun identiti belum dapat dikenal pasti pada peringkat awal ini," katanya.
Tambahnya lagi, hasil siasatan awal menunjukkan kedua-dua mangsa sedang tidur di tingkat atas sebelum lantai kayu runtuh.
Bagaimanapun, siasatan sedang giat dijalankan untuk mengesahkan identiti kedua-dua mangsa.
"Rumah tersebut musnah 70 peratus, dengan ruang tamu dan tingkat atas mengalami kerosakan paling teruk. Pintu rumah berkunci ketika anggota bomba tiba, dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca dan asal kebakaran," ujarnya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah bagi proses bedah siasat dan polis sedang menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah dalam kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram