Mahkamah tolak permohonan CEO GISBH, isteri cabar penahanan bawah Akta Sosma


Mahkamah Tinggi Johor Bahru membenarkan bantahan awal terhadap permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd.

MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru membenarkan bantahan awal terhadap permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd, Nasiruddin Mohd Ali, dan isterinya, Azura Md Yusof.

Permohonan tersebut mencabar penahanan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Dalam penghakimannya pada Selasa, Hakim Datuk Abu Bakar Katar menyatakan bahawa mahkamah berpendapat ketika notis permohonan difailkan pada 24 Oktober, kedua-dua pemohon tidak berada dalam penahanan Sosma.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pekena' gam sebelum dera anak, budak 4 tahun maut hanya kerana muntah di pasar raya

BACA LAGI: [VIDEO] Simen taman rekreasi di Bandung dicungkil-cungkil remaja taksub aplikasi buru syiling

Beliau menambah bahawa kedua-dua pemohon berada di bawah waran tangkap yang sah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Selayang dan writ habeas corpus itu telah menjadi tidak relevan.

"Mahkamah ini membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh Penasihat Undang-Undang Kanan yang mewakili responden.

"Mahkamah ini berpendapat bahawa ketika writ habeas corpus difailkan, pemohon tidak berada dalam penahanan yang salah atau tidak wajar," katanya.

Ketika ditemui di luar mahkamah, peguam pemohon, Datuk Rosli Kamaruddin, berkata mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan minggu depan.

"Selain itu, kami juga akan memfailkan permohonan jaminan melibatkan semua tahanan yang layak, termasuk wanita dan lelaki yang sakit atau kurang sihat.

"Permohonan jaminan ini termasuk CEO GISB dan isterinya. Permohonan ini akan dibuat kepada mahkamah untuk pertimbangkan... sama ada untuk memberikan jaminan atau tidak," katanya.

Selain Rosli, pemohon diwakili oleh peguam-peguam Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal dan Zahier Rosli.

Kedua-dua pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pengarah Penjara Selangor dan Kuala Lumpur, serta kerajaan sebagai responden.

Responden diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Kanan, Mohd Zain Ibrahim, dan Peguam-peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Sadani Ali dan Nur Syahidah Mohamad Kamil.

Pada 23 Oktober, Nasiruddin dan Azura antara 22 individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan atas tuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang.

Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka atau 19 individu lain yang didakwa kerana kes tersebut berada di bawah Sosma, yang mana kes tersebut terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Menurut pertuduhan, kumpulan yang terdiri daripada 13 lelaki dan 9 wanita itu didakwa sebagai anggota kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes, Rawang, antara Oktober 2020 dan 11 September tahun lalu. — The Star/Mohd Farhaan Shah

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram