Tukang masak maut, bayi 7 bulan kritikal terbabit nahas lepas hadir majlis tunang di Kluang


  • 112
  • Isnin, 06 Jan 2025

Keadaan MPV jenis Toyota Estima yang remuk teruk di bahagian kanan mengakibatkan seorang wanita penumpang di bahagian belakang maut di tempat kejadian.

SEORANG tukang masak wanita meninggal dunia, manakala seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan dalam keadaan kritikal akibat pertembungan antara kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori di Kilometer (KM) 86, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Johor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, MPV tersebut sedang membawa lapan orang dari Muar selepas menghadiri majlis pertunangan ketika kejadian berlaku.

"Siasatan awal mendapati lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 53 tahun sedang dalam perjalanan dari Machap ke Ayer Hitam, namun pemandu tersebut telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Lori itu kemudian merempuh bahagian kanan MPV menyebabkan kerosakan teruk pada kedua-dua kenderaan," katanya pada Isnin.

BACA LAGI: [VIDEO] Duka dalam gembira, bintang sensasi Vietnam terpaksa diusung ke hospital saat julang Piala AFF

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sayang legasi Kedah, tapi ada yang tak cukup' legenda Sang Kenari buka mulut isu realiti sebenar KDA FC

Menurutnya, pemandu lori yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada itu telah dibawa ke Hospital Pantai Batu Pahat untuk rawatan lanjut.

"Seorang penumpang wanita yang dikenali sebagai Widiani Afendi,39, mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan turut mengalami kecederaan serius di kepala dan sedang menerima rawatan di zon merah Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom Kluang," ujarnya.

Tambahnya, empat individu lain termasuk pemandu MPV yang berusia antara enam hingga 58 tahun, mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat di hospital yang sama.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi talian hotline polis Kluang di 07-7766822. — The Star/MOHD FARHAAN SHAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram