Budak 6 tahun maut tersepit meja lipat ketika main seorang diri di Pulau Pinang


  • 112
  • Khamis, 02 Jan 2025

Nur Aqifah Humaira maut selepas dipercayai tersepit di celah besi meja lipat ketika bermain di rumahnya di Taman Seri Putera pada Rabu. — Gambar Hiasan

SEORANG kanak-kanak perempuan maut selepas dipercayai tersepit di celah besi meja lipat ketika bermain di rumahnya di Taman Seri Putera dekat Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Rabu.

Mangsa, Nur Aqifah Humaira Abdullah, 6 tahun, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak.

Polis menerima panggilan daripada hospital tersebut yang memaklumkan berhubung kematian mangsa sebelum bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan kejadian di Sandakan, mayat wanita terkulai kena terkam buaya rupanya di Indonesia

Difahamkan, kejadian tragis itu menimpa mangsa kira-kira pukul 4.15 petang ketika dia sedang bermain seorang diri di bahagian belakang rumah bandar (townhouse) yang disewa ibunya.

Ketika kejadian ibu, abang berusia 10 tahun serta kakaknya, 9, berada di rumah namun mereka hanya menyedari kejadian selepas tidak mendengar sebarang bunyi dari arah mangsa dilaporkan bermain.

Mereka cuba mendapatkan bantuan jiran untuk menghantar mangsa ke hospital namun kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Susulan itu, pihak forensik serta pegawai penyiasat melakukan siasatan di lokasi selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Difahamkan, mayat mangsa akan dibedah siasat di Hospital Parit Buntar pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad mengesahkan kejadian tersebut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram