PERMODALAN Nasional Berhad (PNB), melalui syarikat pengurusan unit amanahnya Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Jumlah itu terdiri daripada agihan pendapatan 5.5 sen dan bonus 0.25 sen, menjadikan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM10.1 bilion.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pengagihan tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 11.1 juta pemegang unit.
BACA LAGI: ASB 2 agih pendapatan 5.25 sen seunit, ASM 4.75 sen
BACA LAGI: ASB umum dividen 5.25 sen seunit, meningkat 0.65 sen
"Pengagihan pendapatan ASB kali ini adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun, sejajar dengan strategi kepelbagaian aset PNB dan prestasi pasaran ekuiti awam yang kukuh.
"Dana-dana harga berubah ASNB juga menunjukkan prestasi menggalakkan dengan pulangan setahun antara 15 peratus hingga 33 peratus sehingga November 2024.
"ASB terus mencatat prestasi kukuh dengan kadar pengagihan yang kompetitif, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 bulan Maybank yang berada pada kadar purata 2.64 peratus," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Untuk rekod, agihan pendapatan dana ASB pada tahun lalu adalah sebanyak 5.25 sen seunit.
ASNB mengumumkan pengagihan pendapatan ASB sebanyak 5.75 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengagihan tersebut mencerminkan kekukuhan ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024.
Prestasi ASB yang lebih baik itu adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan ringgit.
"Walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif MADANI kerajaan, termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP)," jelas Raja Arshad.
Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan baki bulanan minimum purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana itu.
Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2025.
Transaksi untuk ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan digantung sementara dari 28 hingga 31 Disember 2024.
Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2025, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB bermula 2 Januari 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram