ASB umum dividen 5.25 sen seunit, meningkat 0.65 sen


  • Massa
  • Khamis, 21 Dis 2023

ASNB mengumumkan agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 1.0 sen seunit kepada pemegang unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 4.25 sen seunit dan bonus 1.0 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Kadar itu meningkat 0.65 sen seunit berbanding dividen pada tahun lalu.

PNB dalam kenyataan pada Khamis berkata, jumlah berkenaan terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.

Jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM9.3 bilion akan memanfaatkan 10.8 juta pemegang unit ASB.

Menurut PNB, ASB terus memberikan pengagihan pendapatan yang kompetitif, mengatasi penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.

411458599_10160466177717659_4441016556554242975_n

Kadar itu meningkat 0.65 sen seunit berbanding dividen pada tahun lalu. — Facebook/ASB

Bilangan akaun ASB meningkat lebih daripada 200,000 kepada 10.8 juta akaun pada 2023, menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, di sebalik keadaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah, PNB telah secara konsisten memberikan pulangan yang kompetitif melalui dana harga tetap yang kesemuanya telah mengatasi penanda aras mereka selama ini.

"Oleh itu, orang ramai digalakkan agar terus menyimpan untuk jangka masa panjang dan masa depan yang terjamin. Tahun ini, kami menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 (daripada 15.2 juta tahun lepas).

"Populariti berterusan produk unit amanah kami terbukti melalui Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2023 dengan produk ASNB mengekalkan kedudukan sebagai pilihan pelaburan paling popular,” katanya dalam kenyataan sama.

Menurut Kementerian Kewangan, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 4.0 peratus pada 2023 dengan sokongan berterusan penggunaan domestik yang kukuh, perbelanjaan infrastruktur serta pemulihan dalam sektor pelancongan.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 berbanding 2.9 peratus pada suku kedua 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ASB, dividen, 5.25 sen, seunit