KRU kabin Malaysia Airlines mendapat pujian atas sifat profesionalisme dan dedikasi luar biasa mereka dalam menjalankan penerbangan repatriasi perubatan dari Kuala Lumpur ke Osaka, Jepun, baru-baru ini.
CEO AK Aeromedical Services, Dr Kiran Chalam dalam satu hantaran yang menyentuh hati di kumpulan Facebook, True Malaysia Airlines menggambarkan tindakan kru tersebut sebagai wira.
Menerusi posting tersebut, Dr Kiran menceritakan kejadian yang berlaku sewaktu penerbangan MH52 pada 16 Disember.
BACA LAGI: Travel ke Hong Kong? Jangan lupa kunjungi masjid dan restoran halal khas buat pelancong Muslim
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kru kabin atas sokongan dan profesionalisme luar biasa mereka semasa repatriasi perubatan dalam penerbangan MH52 dari Kuala Lumpur ke Osaka.
"Kru kabin bekerjasama dengan pasukan perubatan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan seorang pesakit yang sedang dipindahkan.
"Keadaan yang dihadapi pastinya mencabar, namun pengalaman, kepakaran dan ketenangan mereka sangat mengagumkan," katanya.
Dr Kiran turut memuji kecekapan kru tersebut, yang katanya telah berkoordinasi dengan lancar bersama dek penerbangan, pasukan perubatan dan petugas di darat.
"Perhatian kepada setiap butiran dan koordinasi mereka sangat lancar. Jelas sekali, setiap usaha telah dilakukan bagi memastikan kesejahteraan pesakit dan keselesaan semua penumpang," tambahnya.
Selain itu, Dr Kiran juga memuji sifat belas kasihan yang ditunjukkan oleh kru sepanjang penerbangan tersebut.
"Anda sangat prihatin, memahami dan sentiasa memberi jaminan kepada pesakit serta penumpang lain.
"Layanan yang diberikan menunjukkan tahap perkhidmatan pelanggan yang tertinggi serta empati yang mendalam," katanya.
Dr Kiran berasa beruntung dapat 'terbang' bersama kru yang sama sewaktu penerbangan pulang MH53 pada 18 Disember lepas.
Walaupun berdepan satu lagi kecemasan perubatan di pertengahan penerbangan, beliau melihat ketenangan dan kecekapan mereka sekali lagi menyerlah.
"Kemampuan mereka untuk kekal tenang dalam menangani situasi tersebut memastikan semua yang berada di dalam pesawat berasa disokong dan selamat.
"Dari penilaian segera terhadap situasi, koordinasi dengan petugas perubatan sehingga memberi maklumat dan jaminan kepada semua penumpang, kerjasama mereka adalah luar biasa.
"Pengalaman ini menonjolkan betapa penting dan mahirnya peranan kru kabin," tambah Dr Kiran.
Beliau menutup hantaran itu dengan menyatakan rasa terima kasih atas dedikasi dan pemikiran cepat yang ditunjukkan oleh kru tersebut.
"Anda semua adalah wira sebenar," katanya.
Hantaran itu telah mendapat perhatian meluas dan pelbagai komen daripada netizen yang turut mengucapkan tahniah kepada kru tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada Dr Kiran kerana berkongsi pengalaman berharga itu. — The Star/LO TERN CHERN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram