BARU-BARU ini, industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita mengenai serbuan dilakukan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terhadap kediaman pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan.
Serbuan yang dilakukan bersama peguam dan wakil mahkamah pada 10 Disember lalu itu dilapor dilakukan susulan dakwaan kegagalan Rozita, 51, untuk melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Difahamkan, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta membuat pinjaman dengan MARA sejak 2017, namun didakwa tidak pernah membayar pembiayaan itu sejak tujuh tahun lalu.
Susulan daripada itu, MARA pada dua hari berikutkan turut dilapor dalam proses memfailkan kebankrapan terhadap pelakon tesebut dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28.
Difahamkan, pada Julai tahun lalu, MARA sudah memfailkan notis kebankrapan kepada Rozita dan anaknya itu tetapi langkah itu ditarik balik pada bulan lalu disebabkan wujud isu teknikal sebelum diteruskan dengan tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon terbabit.
Dalam perkembangan terbaharu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menerusi satu dokumen pada Isnin sudah mengeluarkan perintah lelongan terhadap sebanyak 34 barangan milik pelakon berkenaan bernilai RM902,012.46 yang akan mula dilakukan pada Selasa.
Antara barangan tersebut termasuk sebuah kereta jenama Haval, gelombang mikro, mesin basuh, mesin pengering, vakum, televisyen dan perabot.
Tangkap layar kediaman pelakon terkenal, Rozita Che Wan yang sebelum ini dilapor diserbu pihak MARA.
Menurut laporan media tempatan, sesi lelongan itu akan dijalankan oleh Auctrade Auctions Solution.
Setakat laporan ini ditulis, Rozita masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi merujuk kepada perkembangan terbaharu tersebut.
Namun, selepas tersebarnya berita mengenai proses lelongan tersebut, pelakon itu dilihat memuat naik satu hantaran di Story Instagramnya yang berkongsikan kata-kata semangat sambil diiringi lagu sedih.
"ALLAH tak pernah janjikan hidup ini mudah. Tapi dia janji akan selalu ada bersama kita," ujar ungkapan yang dikongsikannya.
Tidak dapat dipastikan sama ada perkongsian tersebut merujuk secara langsung terhadap perkembangan terbaharu melibatkan kes beliau bersama MARA.
Terdahulu, Rozita dalam satu kenyataan susulan serbuan dilakukan terhadap kediamannya berjanji akan memberikan kenyataan berhubung isu hutangnya bersama agensi kerajaan tersebut.
Malah, beliau menyifatkan bahawa beberapa laporan media mengenai kontroversi terbabit disifatkan tidak tepat dan perlu diberikan penjelasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram