DARI pasangan hidup ke rakan sekuliah, K. Indradevan dan C. Shanti Devi telah membuktikan bahawa mereka mampu mencapai apa sahaja bersama-sama.
Pasangan suami isteri itu, masing-masing berusia 52 tahun, mencatatkan satu lagi pencapaian dalam kehidupan mereka apabila berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kepimpinan & Pengurusan) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Kami ingin membuktikan bahawa umur bukan penghalang dan tidak pernah terlambat untuk sesiapa sahaja melanjutkan pelajaran.
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara
BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan kejadian di Sandakan, mayat wanita terkulai kena terkam buaya rupanya di Indonesia
“Kami percaya bahawa penting bagi setiap individu untuk meningkatkan diri dan menimba ilmu apabila peluang datang,” kata Indradevan yang juga pengurus kumpulan sebuah syarikat perunding pengurusan di Johor Bahru.
Indradevan yang menguruskan syarikat tersebut bersama isterinya turut berjaya memotivasikan dua pekerja mereka untuk menyertai perjalanan akademik.
“Mereka memperoleh inspirasi untuk melanjutkan pengajian selepas kami memberitahu rancangan untuk mengambil ijazah sarjana.
“Selain dua staf tersebut, saya juga mengajak seorang kawan rapat untuk mencuba, dan dia bersetuju.
“Kesemua kami akhirnya memohon kursus yang sama, dan kini telah berjaya menamatkan pengajian bersama-sama, selain tersenarai dalam Anugerah Dekan,” katanya.
Indradevan berkata, anak perempuannya dan tiga pekerja lain juga ingin mengikut jejak langkah mereka dan telah mendaftar untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.
Masdi Abdul (kiri) bersama isterinya, Suzanna Sabastine Janang.
Pasangan lain yang turut menamatkan pengajian bersama ialah Suzanna Sabastine Janang, 45, dan suaminya, Masdi Abdul, 48.
Mereka masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik.
“Kami berdua adalah anak sulung dalam keluarga masing-masing, tetapi juga satu-satunya yang tidak mempunyai ijazah dalam kalangan adik-beradik.
“Kami ingin membuktikan kepada diri sendiri bahawa kami mampu melakukannya dan tidak pernah terlambat untuk sesiapa sahaja melanjutkan pelajaran,” kata Suzanna yang merupakan seorang jurutera jaminan kualiti.
Suzanna, yang berasal dari Sarawak, pada satu ketika dahulu perlu berulang-alik setiap minggu ke Sabah untuk menghadiri kelasnya.
“Pada awalnya saya belajar di UTMSpace di Kota Kinabalu, di mana kelas diadakan secara fizikal sebelum pandemik Covid-19.
“Suami saya, yang berasal dari Sabah, juga berada di Kota Kinabalu pada masa itu,” katanya.
Pasangan itu kemudian berpindah ke Johor dan meneruskan pengajian di kampus UTMSpace Johor.
“Saya bersyukur kerana kami dapat melalui pengalaman ini bersama, menjadikan ia lebih bermakna,” kata Suzanna. — The Star/ VENESA DEVI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram