'Kita patut balas dengan rasa hormat', Hannah Yeoh sifatkan tindakan 'hooligans' tak hargai usaha Prasarana


  • Podium
  • Ahad, 22 Dis 2024

Hannah Yeoh (Gambar kecil) kecewa dengan insiden yang berlaku selepas perlawanan Malaysia bertemu Singapura pada saingan Piala Asean 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengecam sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan lelaki dipercayai penyokong bola sepak yang bertindak ganas bergaduh sesama sendiri dan merosakkan kenderaan awam di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan pada Jumaat.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KBS amat kecewa dengan insiden yang berlaku selepas perlawanan Malaysia bertemu Singapura pada saingan Piala Asean 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Mengenai insiden antara Malaysia dan Singapura, saya amat kecewa dengan kejadian itu.

BACA LAGI : Layangan kad merah 'bunuh' momentum Sabah FA, Kelana United muncul juara LWN 2024

BACA LAGI : [VIDEO] Memalukan negara, 'hooligans’ bola sepak kena kecam bergaduh, rosakkan harta awam di TBS

"Kami mengecam sebarang tindakan yang melanggar Kod Etika Sukan Selamat. Kod ini bukan sahaja untuk atlet dan jurulatih, tetapi juga untuk penonton," katanya ketika ditemui pada perlawanan akhir saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Hannah berkata, setiap penyokong perlu menerima dengan hati terbuka jika pasukan kesayangan mereka mendapat keputusan yang kurang memuaskan, kerana kalah menang adalah adat dalam perlawanan.

"Menang atau kalah adalah adat dalam pertandingan dan kita mesti menghormati satu sama lain," ujarnya.

Menurutnya, setiap penyokong bertanggungjawab untuk menjaga fasiliti dan prasarana demi kebaikan bersama.

"Semua ini adalah aset kerajaan, yang dibiayai oleh wang pembayar cukai dan kita mesti menjaga aset ini dengan penuh tanggungjawab.

"Fasiliti dan prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) harus dijaga dengan baik. Kita tidak boleh menganggapnya remeh. Saya berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang.

"Fasiliti sukan seharusnya dapat dimanfaatkan untuk menyenangkan penyokong bola sepak dan kita harus membalasnya dengan adab yang baik," katanya lagi.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial menunjukkan insiden pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di sebuah stesen LRT.

Insiden itu berlaku selepas perlawanan terakhir Kumpulan A antara pasukan Malaysia menentang Singapura yang menyaksikan misi skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke pusingan separuh akhir Piala Asean 2024 berkecai selepas seri tanpa jaringan.

Keputusan tersebut menyaksikan Singapura kekal selaku naib juara kumpulan dengan mengutip tujuh mata, manakala Malaysia terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga dengan lima mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram