KELUARGA kepada dua nelayan, Muhammad Ikmal Hakimi Ismail dan Nor Hasrul Abdullah yang hilang selepas bot dinaiki mereka hanyut ketika memukat di perairan Kerachut, Balik Pulau, Pulau Pinang bersyukur selepas kedua-dua mereka ditemui dalam keadaan selamat di perairan Acheh, Indonesia pada Ahad.
Bapa kepada Muhammad Ikmal, Ismail Ibrahim mengatakan dia sudah dihubungi berkaitan penemuan berkenaan dan berterima kasih kepada kerjasama pelbagai pihak dalam usaha terbabit.
"Allahuakbar, itu sahajalah yang boleh saya katakan. Pada masa sama, saya ingin berterima kasih kepada ALLAH ketika menerima berita bahawa mereka berada dalam keadaan selamat.
BACA LAGI: Lepas gaduh dengan ibu, gadis Selama lesap tak balik rumah
BACA LAGI: Hilang tiga jam, 5 pendaki ditemukan selamat di Bukit Gertak Sanggul tepat tengah malam
Muhammad Ikmal dan Nor Hasrul hilang ketika memukat ikan di perairan Kerachut.
"Saya dapat tahu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MMEA) sedang membawa mereka pulang. Kami ingin berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat," katanya.
Ibu kepada nelayan berusia 22 tahun itu, Hanita Ismail pula berkata, gerak hatinya memberitahu bahawa Ikmal yang merupakan anak keempat daripada lima adik beradik masih hidup.
"Inilah naluri seorang ibu. Kami bersyukur kerana ALLAH mendengar doa kami," katanya.
Usaha membawa pulang Muhammad Ikmal (kiri) dan Nor Hasrul dilaksanakan MMEA.
Sementara itu, bapa tiri kepada Nor Hasrul, Mohamad Fitri Badiuzzaman meluahkan rasa syukur selepas menerima perkhabaran baik itu selain sudah tidak sabar untuk bertemunya.
"Alhamdulillah, ALLAH dengar doa kami. Kami memang amat bersyukur dan sangat gembira. Inilah hari paling menggembirakan bagi kami," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, Muhammad Ikmal dan Nor Hasrul yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu sudah ditemukan dengan selamat di perairan Acheh.
Menurutnya, MMEA kini sedang berusaha membawa mereka pulang dengan masing-masing dijangka tiba di Jeti Batu Maung, Bayan Lepas pada awal pagi Isnin. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram