AHLI Majlis di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarahkan supaya tidak menunggu aduan, sebaliknya turun padang secara proaktif bagi menangani rungutan orang ramai.
Datuk Bandar, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, menunggu aduan daripada pembayar cukai sebelum mengambil tindakan adalah cara lama dalam menyelesaikan masalah.
Menurutnya, dengan kenaikan cukai taksiran yang dijadualkan berkuat kuasa tahun depan di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan di Selangor, jangkaan orang awam terhadap penyediaan perkhidmatan akan semakin tinggi.
BACA LAGI: Kartel punca utama kos sara hidup meningkat di Malaysia
“Perhatian perlu diberikan khususnya kepada masalah berulang seperti banjir.
"Ini penting kerana penduduk akan berasa kecewa jika mereka terpaksa berulang kali menyuarakan rungutan terhadap isu yang sama," ujarnya semasa mesyuarat lembaga penuh bulanan MBSA.
Walaupun sudah tiga tahun berlalu, banjir besar di Taman Sri Muda pada Disember 2021 masih segar dalam ingatan Ahli Majlis dan Ketua Jabatan.
Menyentuh isu banjir kilat di Jalan Kebun Barat di Kemuning Greenville, Shah Alam, Selangor, Ahli Majlis Muhammad Nabil Norhalim berkata, terdapat keperluan mendesak bagi penyelenggaraan sistem perparitan di kawasan ini.
Angkara projek pembinaan, banyak longkang dan parit yang tersumbat sehingga menghalang aliran air.
Sementara itu Ahli Majlis, Datuk Emran Kadir berkata, kawasan tersebut secara semula jadi sememangnya mudah dilanda banjir kerana berdekatan dengan Sungai Klang.
Oleh itu, masalah perparitan bukanlah satu-satunya isu yang perlu dipertimbangkan.
Emran berkata, pengurusan pintu air juga perlu diberi perhatian, yang mana seseorang perlu bertugas supaya pintu air boleh dibuka pada masa yang genting.
Sebagai penyelesaian sementara, MBSA akan mendapatkan pam berkapasiti tinggi untuk menangani banjir kilat di Jalan Kebun Barat. — The Star/GRACE CHEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram