'Selalu pesan solatkan jenazah saya,' bapa sebak anak dijemput ajal dulu kerana renjatan elektrik di Serdang, dedah tak sempat belikan permainan video


  • Massa
  • Khamis, 19 Dis 2024

Harith sempat menjadi imam di sekolahnya sebelum meninggal dunia kerana renjatan elektrik pada Rabu. — Facebook

KANAK-KANAK lelaki berusia 12 tahun yang dipercayai meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik, baru sahaja selesai memimpin solat Asar di sekolahnya, kata bapanya.

Mohd Fazrul Mohd Nasir berkata, anaknya itu secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi imam solat Asar kira-kira 30 minit sebelum kejadian malang yang meragut nyawanya.

"Saya selalu berpesan kepadanya, jika saya meninggal dunia, saya ingin dia yang menjadi imam solat jenazah saya, tetapi dia telah pergi terlebih dahulu," katanya dengan sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Kim Seri: Skandal penipuan pelancongan ke Korea babit kerugian lebih setengah juta ringgit, dedah Bukit Aman

BACA LAGI: Panik ada lintah di badan? Ikuti 3 langkah selamat dan efektif lepaskan diri daripada gigitan

Lelaki berusia 40 tahun itu berkata, beliau tidak hanya kehilangan seorang anak tetapi juga seorang sahabat rapat yang sentiasa ada di sisinya.

Lebih memilukan, Mohd Fazrul berkongsi bahawa pada Khamis sepatutnya menjadi hari pengumuman keputusan Penilaian Agama Sekolah Rendah anaknya, namun mereka belum berkesempatan untuk menyemak keputusan tersebut.

Beliau amat sedih mengenangkan janji untuk membeli permainan video untuk anaknya jika dia berjaya dalam peperiksaan.

Ibu kanak-kanak tersebut, Norhidayah Husin, 39, pula berkata anaknya adalah seorang yang peramah, rajin dan amat disenangi oleh rakan-rakan sekolah, guru-guru serta jiran-jiran mereka.

Solat jenazah akan diadakan di Masjid Universiti Putra Malaysia sebelum jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam UPM pada petang Khamis. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram