Airscream rancang perkenalkan produk baharu, fokus sokongan nikotin bantu berhenti merokok


  • Massa
  • Selasa, 17 Dis 2024

Andrew Koh memaklumkan Airscream komited memastikan produk mereka bebas daripada elemen pemasaran yang boleh menarik perhatian kanak-kanak.

SYARIKAT pengeluar vape dari United Kingdom, Airscream UK merancang untuk memperkenalkan produk baharu yang memfokuskan sokongan nikotin untuk membantu perokok berhenti merokok.

Melalui perancangan menuju 2025 itu, Airscream yakin dapat mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dan memberi impak positif kepada masyarakat

Ketua jenama dan pemasarannya, Andrew Koh berkata, rokok elektronik dilihat sebagai pilihan kurang memudaratkan berbanding tembakau, dengan beberapa negara telah mengiktiraf produk tersebut sebagai barangan terapeutik dalam industri farmaseutikal.

BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Ketagih rokok, vape, lemah iman

BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Bongkar! Modal keras, kedai vape kena gelapkan cermin

Walaupun masih berdepan kontroversial, kajian menunjukkan potensi rokok elektronik membantu mengurangkan ketagihan terhadap rokok tradisional.

"Data menunjukkan penggunaan tembakau global menurun secara konsisten, manakala industri vaping terus berkembang dengan kadar 11.16 peratus setahun.

"Malaysia menjadi pasaran penting di rantau Asia Tenggara dan kami bersedia untuk menyokong pertumbuhan ini," katanya kepada Majoriti pada Selasa.

Andrew turut menegaskan komitmen Airscream terhadap pematuhan peraturan dan undang-undang di dalam negara termasuk Akta Kawalan Produk Merokok (Akta 852) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, Airscream komited memastikan produk mereka bebas daripada elemen pemasaran yang boleh menarik perhatian kanak-kanak.

"Produk kami adalah untuk golongan dewasa dan tidak dijual kepada golongan bawah umur.

"Sehubungan itu kami tidak akan mengeluarkan mana-mana produk yang boleh mengelirukan pengguna," katanya ujarnya.

Sementara itu, Andrew berkata, pihaknya juga optimis terhadap masa depan pasaran rokok elektronik di Malaysia dan berkomitmen menyediakan produk berkualiti tinggi sebagai alternatif kepada merokok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram