[VIDEO] Dr Dzulkefly sahkan PKD Seremban serah kompaun kesalahan merokok kepada Tok Mat


  • Primer
  • Rabu, 18 Dis 2024

Foto tular di media sosial memaparkan Mohamad Hasan (kanan) menghisap rokok di kawasan larangan.

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tindakan akan dikenakan terhadap Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan atas kesalahan menghisap rokok di sebuah premis makanan.

Dalam satu ciapan di akaun X peribadinya, Dzulkefly menegaskan pihak berkuasa akan menyerahkan notis kompaun terhadap Ahli Parlimen Rembau itu atas pelanggaran undang-undang tersebut.

"Hari ini (Rabu) pegawai diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban akan berjumpa Tok Mat (Mohamad Hasan) untuk notis kesalahan dan diberikan kompaun. Pejabat beliau sudah pun maklum.

BACA LAGI: [VIDEO] Akta Kawalan Produk Merokok: Ketagih rokok, vape, lemah iman

BACA LAGI: Tular gambar menteri hisap rokok di kedai makan, KKM tegas tiada siapa melebihi undang-undang

"Sejujurnya, Mohamad Hassan sendiri minta KKM (Kementerian Kesihatan) mengisukan kompaun ke atas kesalahan tersebut dan beliau memberitahu saya, kompaun akan dibayar," tulisnya.

Dalam sekeping foto tular di aplikasi X baru-baru ini, Mohamad Hasan didapati menghisap rokok di premis makanan yang jelas melanggar Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Bagaimanapun tiada maklumat lanjut berkenaan tarikh dan masa perbuatan itu dilakukan, selain nama restoran itu juga tidak didedahkan.

Ciapan itu kemudian menerima respons daripada orang ramai yang mahu memastikan tindakan diambil terhadap kesemua pihak tanpa mengira latar belakang masing-masing.

Menyedari perkara tersebut, Dzulkefly dalam satu hantaran di platform media sosial menegaskan bahawa KKM berpegang kepada prinsip tiada pihak lebih berkuasa daripada undang-undang.

Peraturan 11 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 menyatakan bahawa sesiapa yang didapati bersalah merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram