PENDUDUK di sekitar Kuala Lumpur kini menyuarakan kebimbangan mereka berikutan kemungkinan kenaikan cukai taksiran pada tahun depan akan membebankan mereka.
Manakan tidak, langkah tersebut dijangka meningkatkan tekanan terhadap kos sara hidup di ibu kota yang sudah sedia tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, dalam satu laporan StarMetro pada Jumaat berkata, pihak berkuasa tempatan sedang mempertimbangkan kenaikan cukai taksiran bagi meningkatkan hasil pendapatan susulan kos operasi yang semakin meningkat.
BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja sawit meraung lihat rakan maut dihempap serombong besi lebih 1 tan di Sumatera Utara
Walaupun tiada garis masa khusus diberikan, beliau memaklumkan bahawa kadar baharu itu mungkin akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan cukai untuk premis industri.
Pengerusi Save Kuala Lumpur, Datuk M. Ali, menyifatkan cadangan tersebut sebagai tidak wajar.
Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa masih belum menangani pelbagai masalah utama di bandar, termasuk isu banjir yang kerap dan penyelenggaraan sistem perparitan yang tidak memuaskan.
"Kualiti hidup di Kuala Lumpur semakin merosot,” katanya kepada StarMetro.
M. Ali turut memaklumkan tiada sebarang sesi perbincangan antara kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penduduk mengenai isu berkenaan.
Sementara itu, aktivis komuniti Kepong, Yee Poh Ping, mencadangkan agar sebarang kenaikan dilaksanakan secara berperingkat untuk mengurangkan impak kewangan kepada pembayar cukai.
“Mungkin DBKL boleh mempertimbangkan kenaikan sebanyak 10 peratus dalam tempoh lima tahun pertama, sebelum menyemak semula kadar selepas itu,” ujarnya.
Beliau juga menekankan kepentingan DBKL untuk mengoptimumkan perbelanjaan dan tenaga kerja bagi mengelakkan pembaziran dana awam.
(Dari kiri) Datuk M. Ali, Wong Chan Choy and Yee Poh Ping menyuarakan kebimbangan bahawa kenaikan cukai taksiran berpotensi membebankan penduduk.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa, Wong Chan Choy, turut menyuarakan kebimbangan bahawa kenaikan cukai taksiran berpotensi menjejaskan pemulihan ekonomi pasca Covid-19.
"Banyak perniagaan baru sahaja stabil, sementara ramai orang masih menghadapi kesulitan kewangan. Pengumuman ini (kemungkinan peningkatan cukai taksiran) mungkin menyebabkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai," katanya.
Untuk rekod, DBKL kali terakhir menyemak semula kadar cukai taksiran pada akhir tahun 2013, iaitu pertama kali dalam lebih dua dekad.
Pada Jun 2014, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, mengumumkan bahawa kenaikan tersebut dihadkan kepada 10 peratus untuk hartanah kediaman dan 25 peratus untuk premis komersial.
Kerajaan negeri Selangor baru-baru ini meluluskan kenaikan 25 peratus dalam cukai taksiran yang akan berkuat kuasa tahun depan.
Mereka memberikan alasan bahawa kadar penilaian hartanah di 12 majlis perbandaran adalah usang, dengan beberapa kadar menggunakan angka yang telah lapuk sejak 30 tahun lalu.
Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, pihak berkuasa tempatan mempunyai kuasa untuk menyemak dan mengubah kadar cukai taksiran setiap lima tahun.
Namun, tindakan berkenaan harus disertai dengan komunikasi yang telus dan usaha memperbaiki perkhidmatan tempatan untuk memastikan kesejahteraan penduduk tidak terjejas. — The Star/FARID WAHAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram