DUA warga asing ditahan selepas polis menemukan mayat dipercayai dibunuh dalam but sebuah kereta di Telok Panglima Garang, Banting, Selangor pada Selasa lepas.
Penangkapan kedua-dua suspek yang bekerja di ladang itu dilakukan kira-kira pukul 5.08 pagi iaitu sewaktu polis sedang membuat rondaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, polis menemukan satu mayat lelaki juga dipercayai warga asing berusia 30-an ketika memeriksa belakang kereta dinaiki kedua-dua suspek berusia 17 dan 22 tahun itu.
Akmalrizal berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mayat itu mempunyai beberapa kesan cedera pada bahagian tubuh.
“Pegawai perubatan klinik kesihatan Telok Panglima Garang telah mengesahkan kematian lelaki tersebut.
“Siasatan awal turut mendapati mangsa adalah pekerja ladang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 14 Disember ini.
Akmalrizal berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah ini ditalian 03-31872222 bagi membantu siasatan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram