"PENANTIAN yang ditunggu akhirnya terjawab". Itulah ungkapan penduduk kampung selepas mayat seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras banjir setelah cuba melalui laluan yang ditenggelami air di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 3 dekat Paka, Terengganu ditemui pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan mangsa, Wan Muhammad Firdaus Wan Nasir, 36, hilang bersama motosikalnya selepas dihanyutkan arus deras pada Ahad.
Mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 2.15 petang Isnin.
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut tersepit, lori dipandu hilang kawalan sebelum rempuh tanker minyak di Dengkil
Komander Operasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Zon 2 Terengganu, Mohd. Zailani Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui terapung pada jarak 10 meter dari lokasi motosikalnya dijumpai sebelum ini.
“Mayat mangsa (Wan Muhammad Firdaus) ditemui terapung selepas pasukan penyelamat membuat teknik olakan arus menggunakan bot.
“Operasi SAR juga agak mencabar kerana lokasi pencarian dipenuhi pokok-pokok. Lokasi dia ditemui ditenggelami banjir sedalam kira-kira tiga meter dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian memetik laporan Kosmo!.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa dikatakan memasuki kawasan ladang kelapa sawit berkenaan bersama dua rakannya pada pukul 5 petang Sabtu.
Dia menunggang motosikal dengan mengikuti belakang lori yang membawa dua rakannya hamun dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu dihanyutkan arus deras ketika mahu keluar dari ladang itu pada pukul 5 pagi Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram