
POLIS menembak mati seorang lagi penjenayah dikehendaki dalam kejadian berbalas tembakan di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis.
Suspek berusia 59 tahun itu dipercayai rakan kepada tiga lagi penjenayah yang ditembak polis di Penampang sebelum ini kerana melakukan pelbagai jenayah termasuk membunuh.
Dalam kejadian terbaharu, polis dari Unit Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah menyerbu sebuah bilik di sebuah bangunan di Jalan Undan berhampiran Terminal Bas Inanam kira-kira pukul 2.30 pagi.
BACA LAGI: Polis tembak mati 3 penjenayah di Penampang, dipercayai terlibat aktiviti jenayah, kes bunuh
Tangkap layar menunjukkan mayat ketiga-tiga penjenayah dibawa keluar oleh pihak polis dari kawasan kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Asisten Komisioner Kanan, Datuk Azmi Abdul Rahim berkata, suspek secara tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah pasukan polis.
"Suspek melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan polis juga terpaksa melepaskan tembakan untuk melindungi diri.
"Suspek disahkan meninggal dunia di lokasi," katanya.
Beliau berkata, pihaknya bahawa suspek merupakan rakan sejenayah kepada tiga penjenayah yang terlibat dalam rentetan jenayah termasuk pembunuhan di Sarawak.
Beliau bagaimanapun berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.
Sebelum ini, anggota polis D9 menembak tiga lelaki dalam lingkungan 40-an dan 50-an dalam kejadian berbalas tembakan di Apartmen Beverly Hills, Penampang.
Ketiga-tiga mereka disyaki merupakan ahli kumpulan samseng di Sarawak yang melarikan diri ke Sabah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram