PROTON Edar Malaysia tidak lupa melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama MY Clean Beach, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di Pantai Batu Laut di Tanjung Sepat, Selangor.
Projek CSR berkenaan berjaya membersihkan sebanyak 338.5 kilogram (kg) sampah di pantai tersebut.
Projek yang disertai 42 sukarelawan daripada pengurusan Proton, ahli Kelab Proton Edar dan MY Clean Beach itu memberi tumpuan kepada dua kawasan utama pantai iaitu kawasan bakau dan kawasan pengunjung tempatan.
Pasukan tersebut berjaya mengumpul 263.95kg sampah biasa, 38kg barang besar, 19.5kg plastik, 14kg kaca, 3.5kg tin dan barangan logam, 148 puntung rokok serta 46 penyedut minuman plastik.
BACA LAGI: Lebih RM22.5 juta diperlukan baiki jalan raya terjejas banjir di Kelantan
Program pembersihan itu memulihkan keadaan pantai yang terletak di sepanjang pesisir pantai Selat Melaka, kurang dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur.
Pantai Batu Laut terkenal dengan kawasan paya bakau yang subur dan air yang jernih.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, program itu bertujuan menambah baik keadaan pantai dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan pantai selain memahami peranan yang dimainkan paya bakau serta ekosistem pantai dalam pemuliharaan alam sekitar.
“Melalui inisiatif ini, Proton terus melibatkan pekerja dalam aktiviti CSR yang bermakna, memperkukuh semangat berpasukan dan setiakawan sambil mempromosikan kepentingan alam sekitar,” ujarnya.
Roslan menekankan bahawa program berkenaan juga berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran tentang cara pelupusan sampah yang betul selain menangani isu pencemaran plastik yang kian meningkat.
“Dengan mengalihkan sisa dari Pantai Batu Laut, Proton telah membantu menyumbang kepada ekosistem yang lebih sihat.
“Ia juga memupuk kerjasama dalam kalangan pekerja sambil meningkatkan kesedaran tentang kepentingan melindungi alam sekitar dan tanggungjawan menguruskan sampah.
"Seiring dengan perkembangan barisan produk hibrid dan EV kami, adalah penting untuk operasi kami turut menjadi lebih mesra alam.
"Aktiviti CSR seperti ini adalah cara terbaik untuk memulakannya," kata Roslan, sambil menambah slogan aktiviti itu ialah 'Pantai tempatan milik saya. Ia sebahagian daripada diri saya dan negara'.
MY Clean Beach merupakan sebuah organisasi yang berdedikasi dalam melindungi hidupan marin dan menangani pencemaran plastik.
Sehingga kini, NGO ini telah mengeluarkan 16,817.8kg sampah melibatkan 3,677 sukarelawan dan menanam 485 pokok dalam usaha mereka melindungi alam sekitar. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram