Bakar rumah sendiri sampai jiran kena tempias, polis Sungai Buloh reman lelaki usia 34 tahun


  • 112
  • Ahad, 01 Dis 2024

Seorang lelaki bertindak membakar kediamannya sendiri sehingga api merebak ke empat rumah berdekatan dalam kejadian di Kuang, Gombak, Selangor pada Ahad. — Facebook

SEORANG lelaki didakwa membakar kediamannya sendiri sehingga api merebak ke empat rumah berdekatan dalam kejadian di Kuang, Gombak, Selangor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan insiden tersebut sekitar pukul 7.06 malam.

"Berdasarkan maklumat daripada saksi di tempat kejadian, lelaki tersebut dipercayai membakar rumahnya sehingga menyebabkan kebakaran merebak ke empat rumah lain yang berdekatan.

"Sebaik tiba di lokasi, pihak polis telah menahan seorang suspek berusia 34 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: 'Saya dengar adik jerit, menangis kesakitan di bawah runtuhan', mangsa terselamat terngiang-ngiang detik tanah runtuh di Terengganu

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak hanya nasi 'ketagih' dan wagyu piza yang menggiurkan, ada 5 lagi destinasi makanan 'recommended' di Ipoh

Katanya lagi, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

Bagaimanapun, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang berkaitan dengan kesalahan khianat menggunakan api.

"Motif suspek masih dalam siasatan dan dia direman selama empat hari bermula pada Ahad hingga Rabu," katanya.

Mohd Hafiz turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Azammuddin Mohd Razib di talian 016-5661597.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak bertindak melulu atau melanggar undang-undang, sebaliknya menyerahkan sebarang tindakan kepada pihak berkuasa untuk diselesaikan mengikut prosedur undang-undang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram