Sumbat mayat dalam peti sejuk, anak hanya angguk faham dituduh bunuh ibu


Lelaki berusia 53 tahun itu (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada Selasa.

SEORANG lelaki berusia 53 tahun didakwa membunuh ibunya dalam kejadian tiga tahun lepas di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada Selasa.

N. Deanesh yang merupakan paderi gereja dituduh membunuh ibunya yang berusia 77 tahun, Catherine Daniel di sebuah rumah di Taman OUG, Kuala Lumpur sekitar tiga tahun lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sekitar pada 21 Mac dan 26 Mac 2021.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan rotan.

Kelihatan kusut, Deanesh yang duduk di kerusi roda ketika berada di mahkamah hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca.

“Faham (saya faham),” katanya.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes pembunuhan adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret Atiqah Mohamed @Mohamad Saim menetapkan 7 Februari 2025 untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan mengenai mayat seorang wanita yang dipercayai dibunuh anaknya dan disumbat ke dalam peti sejuk selama tiga tahun. — The Star/NURBAITI HAMIDI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram