LEBIH 100 tan sisa makanan dialihkan dari tapak pelupusan sampah sejak pusat Anaerobic Digester (AD) dilancarkan di Ampang Jaya, Selangor, lebih dua tahun lalu.
Ia telah menjimatkan lebih RM3,000 kos pengurusan sisa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam tempoh antara 2023 sehingga Ogos 2024.
Pusat AD MPAJ di Jalan Kolam Ayer Lama memproses sisa makanan menjadi baja cecair dan biogas untuk mengelakkan sisa makanan berlebihan berakhir di tapak pelupusan sampah.
BACA LAGI: Isteri bebas, suspek kes bunuh Cikgu Istiqomah dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada Isnin
BACA LAGI: Kurang cahaya waktu malam, JKR respons punca lampu rosak sepanjang Jalan Lapangan Terbang Subang
Sisa makanan yang terkumpul dibawa ke pusat AD dan diasingkan sebelum diproses. — MPAJ
Berikutan kejayaannya, jurucakap MPAJ berkata, mereka sedang merancang untuk memperluaskan pusat pengumpulan sisa makanan dalam masa terdekat.
“Sejak pusat AD MPAJ mula beroperasi pada Julai 2022, ia telah menghasilkan sebanyak 89,520 liter baja cecair dan 31,400 meter padu biogas.
"Baja yang dihasilkan daripada sisa makanan itu kemudiannya dijual kepada orang ramai dan juga diberikan secara percuma kepada komuniti penduduk dan sekolah," katanya.
Tambahnya, kira-kira 150 kilogram (kg) hingga 200 kg sisa makanan dikutip setiap hari dari premis seperti restoran, medan selera dan sekolah di sekitar bandar tersebut.
Sisa makanan dikumpul dari Hospital KPJ, Ampang Puteri, Medan Selera Bunga Tanjung, Laman Selera MPAJ @ Ampang Jaya, Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana, Restoran Nasi Kandar Pelita, Ampang Point, Restoran Awwal Maju, Ampang Point, SK Ampang, SMK Dato' Ahmad Razali, Medan Selera Angsana Hilir dan DPO International Sdn Bhd Melawati (syarikat pemprosesan makanan).
Daripada 10 lokasi tersebut, MPAJ berkata, ia akan memperluaskan perkhidmatan kutipan ke 10 lagi medan selera.
Ia termasuk Medan Selera Taman Melawati, Medan Selera Taman Desa Keramat, Bazar Jalan Jelatek, Medan Selera Bunga Tanjung dan Medan Selera Pandan Indah.
Kemudahan yang dilancarkan secara rasmi pada Januari 2023 itu, merupakan pusat AD bersepadu pertama menggunakan sistem Internet Kebendaan (IoT) di negara.
Pusat AD itu dibina serentak dengan Laman Selera MPAJ @ Ampang Jaya yang terletak berhampiran pusat memproses baja tersebut.
Pembinaan itu menelan kos berjumlah RM4.6 juta melalui peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Pusat AD kini terletak di hadapan Tanah Perkuburan Hindu Ampang/Ulu Kelang yang sudah berusia 60 tahun.
Pada 2019, projek AD dicadangkan dibina di Jalan Mamanda 27, Ampang Jaya, namun lokasi itu ditukar susulan bantahan penduduk.
MPAJ bagaimanapun pada ketika itu mempertahankan tapak tertentu sebagai tempat yang sesuai untuk pembinaan pusat AD kerana ia terletak berhampiran kawasan komersial Ampang Point yang mana banyak sisa makanan dihasilkan. — The Star/SHALINI RAVINDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram