DBKL arah henti kerja pembinaan kondo di Wangsa Maju susulan berlaku keretakan


  • Primer
  • Sabtu, 09 Nov 2024

Tangkap layar memaparkan keadaan di tapak projek kondominium dekat Wangsa Maju.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan agar kerja-kerja pembinaan di tapak projek kondominium di Wangsa Maju dihentikan.

DBKL dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, arahan itu dikeluarkan selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari pada 7 November lalu, mengenai dakwaan satu letupan yang berlaku di tapak pembinaan kondominium tersebut.

Menurutnya, letupan tersebut dilaporkan berpunca daripada kegagalan struktur di Blok C pembangunan berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Harimau belang mati digilis lori di Banjaran Titiwangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Rider ‘superbike’ rentung, terseret beberapa meter gagal elak kereta masuk simpang di Mongolia

"Siasatan tapak telah dijalankan DBKL dan mendapati terdapat keretakan pada struktur shear wall, tiang dan lantai pada unit–unit yang berada di tingkat lapan dan ke atas.

"Satu notis di bawah seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dikeluarkan kepada pihak perunding serta mengarahkan supaya diambil tindakan antaranya memberhentikan semua kerja-kerja pembinaan.

Selain itu ujarnya, tindakan lain termasuk menyelenggara tapak bina supaya berada dalam keadaan bersih dan selamat serta melantik jurutera bebas bagi menjalankan pemeriksaan integriti struktur keseluruhan pembangunan tersebut

"Pihak perunding juga perlu mengemukakan laporan iaitu hasil daripada pemeriksaan integriti struktur dan menjalankan kerja-kerja rektifikasi berdasarkan pengesyoran daripada jurutera bebas," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Shariff berkata, beliau sudah mengarahkan pemaju projek untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap keretakan struktur yang ditemui di tapak tersebut.

Ujar beliau, sebaik sahaja laporan itu disiapkan, DBKL akan melantik pihak ketiga yang bebas untuk menilai hasil siasatan berkenaan.

"Kami memberikan mereka tempoh dua minggu untuk menghantar laporan. Sementara itu, saya menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai insiden tersebut.

"Maklum balas awal menunjukkan terdapat letupan.

"Apabila pasukan kami memeriksa tapak tersebut, mereka mendapati keretakan pada dinding tetapi masih terlalu awal untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku," katanya. — The Star/Bavani M

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram