BAYI lelaki yang baru lahir dan diletak dalam bekas penyimpanan ikan sebelum ditinggalkan di tempat pembuangan sampah di Jalan Tong Sang, Sibu, Sarawak pada 29 Oktober lalu kini berada dalam keadaan stabil.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bayi itu dilahirkan pramatang pada usia 41 minggu dengan berat 1.43 kilogram (kg).
"Jabatan Kebajikan Masyarakat Sibu sudah menemu bual gadis itu (ibu bayi) dan bapanya (datuk bayi ) pada 30 Oktober lalu.
"Pegawai kebajikan turut melawat hospital untuk memeriksa keadaan bayi berkenaan dan bekerjasama dengan polis berhubung siasatan kes itu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] Buang bayi dalam bekas simpan ikan di Sibu, suspek lelaki direman 6 hari bantu siasatan kes
BACA LAGI: Bayi masih hidup ditemui dalam tong sampah, polis Sibu tahan 2 individu termasuk gadis usia 14 tahun
Orang awam di Jalan Tong Sang, Sibu dikejutkan dengan penemuan seorang bayi yang baru dilahirkan di tempat pembuangan sampah.
Fatimah berkata, pihaknya juga akan ke sekolah gadis itu untuk mendapatkan laporan serta ke rumah keluarganya untuk siasatan lanjut.
Katanya, mereka sedang berusaha mencari keluarga angkat atau penjaga yang sesuai kerana bapa remaja perempuan itu sudah menyatakan keengganan untuk menjaga bayi tersebut.
Terdahulu, polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai kenalan bapa gadis berusia 14 tahun itu.
Gadis yang dipercayai ibu bayi itu turut ditahan untuk membantu siasatan.
Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 317 kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk membuang bayi.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 376 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan.
Hukuman mengikut Seksyen 317 pula jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
Sementara itu, Fatimah mendedahkan sehingga Oktober 2024, sebanyak enam kes pembuangan bayi direkodkan di Sarawak termasuk satu kes melibatkan seorang bayi yang berjaya diselamatkan di Borneo Medical Centre (BMC) Kuching pada Mac lalu.
"Sarawak juga merekodkan 118 kes rogol dengan 109 kes membabitkan kanak-kanak perempuan berumur 18 tahun ke bawah.
"Sbanyak 97 daripada kes ini diklasifikasikan sebagai rogol berkanun (melibatkan mangsa berumur 16 tahun ke bawah), 11 kes sebagai sumbang mahram, 24 sebagai gangguan seksual dan 74 melibatkan penderaan seksual kanak-kanak," tambahnya. — The Star/ANDY CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram