PIHAK berkuasa Indonesia menahan bekas Menteri Perdagangan yang kini menjadi pengkritik kerajaan, kerana disyaki memberikan permit import gula secara tidak wajar pada 2015 sehingga menyebabkan kerugian AS$25 juta (RM109.7 juta).
Thomas Trikasih Lembong ditahan pada Selasa oleh pendakwa raya dari Pejabat Peguam Negara dan dituduh memberikan permit kepada sebuah syarikat swasta ketika Indonesia mempunyai lebihan gula, kata pejabat itu.
"Ketika itu, Indonesia tidak perlu mengimport gula tetapi (Thomas) memberikan permit untuk mengimport 105,000 metrik tan gula kristal mentah," kata Pendakwa Raya, Abdul Qohar pada sidang media.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Aim' tembak imam lepas solat Jumaat, lelaki bunuh Mohammad Sabahi pernah ugut hakim di Iran
Thomas Trikasih Lembong — Agensi
Selain itu, tiada perundingan dengan badan negeri lain atau cadangan daripada kementerian industri, katanya, sambil menambah bahawa keputusan itu menyebabkan kerugian 400 bilion rupiah (kira-kira RM110 juta).
Abdul Qohar tidak menyatakan balasan diterima oleh Thomas atas pemberian permit kepada syarikat itu, yang hanya dikenal pasti oleh pihak berkuasa dengan inisial, PT AP.
Pada masa sama, pejabat peguam negara turut menafikan siasatan tersebut mempunyai motif politik.
Manakala Thomas ketika dihubungi pemberita hanya memberikan komen ringkas.
"Saya serahkan segala-galanya kepada Tuhan Yang Maha Esa," katanya.
Thomas yang juga bekas jurubank pelaburan, menjadi menteri perdagangan Indonesia antara 2015 dan 2016 dan merupakan pembantu rapat bekas presiden Joko 'Jokowi' Widodo.
Selepas meninggalkan jawatan pada 2019, beliau menjadi salah seorang pengkritik tegar kepada kerajaan Jokowi.
Thomas adalah pengurus kempen pada Pilihan Raya Presiden untuk Anies Baswedan, yang menentang pemenang, Prabowo Subianto, kini Presiden Indonesia menggantikan Jokowi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram