
BAGI meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai kanser di samping menggalakkan pelajar meminati bidang biologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui kumpulan penyelidik Kanser dan Penyakit Berjangkit (CAID) menganjurkan kempen kesedaran di sekolah sejak empat tahun lalu.
Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damai Jaya di Skudai, Johor, CAID memberi tumpuan terhadap kesedaran tentang hubungan antara kanser kulit dan pendedahan matahari.
Ketua Programnya, Dr Farah Hanis Juhari berkata, kempen itu melibatkan kira-kira 50 pelajar dari tiga sekolah menengah di Johor Bahru.
BACA LAGI: Sibuk kerja 54 jam seminggu, doktor 'kalis kecaman' berlari sambil tolak stroller anak
Matlamat program itu ialah untuk menggalakkan pelajar sekolah memupuk minat dalam bidang biologi apabila mereka menyambung pengajian di peringkat tinggi nanti.
“Kami telah mengadakan kempen sama yang melibatkan pelajar sekolah menengah sejak pandemik Covid-19 pada 2020.
“Pada mulanya, kempen ini dijalankan secara dalam talian tetapi dengan kelonggaran sekatan pergerakan, kami beralih kepada versi fizikal.
"Pada awal kempen ini bermula, topik kami tertumpu kepada kanser payudara. Kemudian, kami bertukar ke jenis kanser lain,” katanya.
Topik kempen tahun ini ialah kanser kulit dan pencegahannya.
Menurut beliau, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia telah menjadi salah satu daripada 10 kanser teratas di Malaysia.
“Walaupun kanser kulit adalah antara penyakit yang jarang berlaku di Malaysia, namun kira-kira 10 peratus daripada populasi kita kini terkesan dengan penyakit itu.
“Melalui kempen ini, kami cuba mewujudkan kesedaran tentang langkah mengurangkan risiko mendapat kanser kulit melalui amalan penggunaan krim pelindung matahari.
"Orang ramai harus memakai krim pelindung matahari apabila keluar, kerana kebanyakan kes kanser kulit adalah akibat daripada pendedahan kepada sinaran ultraungu matahari," katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk mendapatkan rawatan sejurus menyedari tanda-tanda awal kanser kulit, seperti kemunculan tahi lalat secara tiba-tiba di badan.
Selain itu, beliau berkata, matlamat program itu ialah untuk menggalakkan pelajar sekolah, terutamanya mereka yang dari golongan B40 untuk mempunyai minat dalam sains, khususnya biologi apabila mereka menyambung pengajian di peringkat tinggi nanti.
"Kami mendapati bahawa bilangan pelajar yng mendaftar dalam biologi agak rendah dan kebanyakan mereka lebih suka mengambil jurusan perakaunan," katanya.
“Bagaimanapun, biologi boleh menjadi menyeronokkan untuk dipelajari.
“Melalui kempen itu, kami turut mengadakan aktiviti seperti kuiz, permainan dan juga pertandingan mencipta video pendek mengenai kanser kulit.
"Daripada bergantung pada slaid yang membosankan, kami menjadikan kempen sebagai pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan untuk mereka."
Beliau berharap aktiviti interaktif kempen itu dapat memupuk minat pelajar terhadap biologi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Johor, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, SMK Damai Jaya dan pemain industri kerana memberi sokongan kepada kempen tersebut. — The Star/MOHD FARHAAN SHAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram